Sunday 24 April 2011

Menutup...




Bismillahirahmannirahim,

Disini ada sedikit perkongsian sebagai peringatan buat kita semua yang saya dapat daripada Rakan Surau yang berada dibawah bimbingan Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah(LPS) Kolej Harun AminurRasyid,Universiti Pendidikan Sultan Idris,semoga memberi manfaat dan peringatan buat kita semua.

Pada 13 April 2011 ( Sabtu ), bersempena dengan Majlis Jamuan Perpisahan Rakan Surau Ar-Rashidin bagi sesi 2010-2011, Ahli Jawatankuasa Kelab   Rakan Surau di bawah bimbingan Biro Latihan&Pembangunan Sahsiah(LPS), KHAR telah mengadakan Majlis Perasmian PelancaranKempen “Ke Arah Sahsiah Unggul”. Kempen tersebut telah dirasmikan oleh En.Ghazali Bin Din selaku wakil pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Kempen “Ke Arah Sahsiah Unggul” telah menghasilkan 9 banting dan akan diletakkan di sekitar kolej.
Kempen tersebut dilancarkan  atas kesedaran bahawa betapa pentingnya sebagai seorang pendidik membentuk nilai sahsiah yang unggul dalam diri. Kempen “Ke Arah Sahsiah Unggul” ini bertunjangkan objektif   program iaitu melahirkan bakal pendidik yang mempunyai sahsiah dan moral yang tinggi serta dapat mempersiapkan diri selaku pendidik. . Justeru, sebagai bakal pendidik seharusnya melengkapkan semaksimum mungkin nilai-nilai murni dan sahsiah yang tinggi sebagai ikutan para pelajar . Insya-Allah.       

Contohi akhlak mulia,
Dari nabi junjungan,
Walau dicaci dihina,
Ditempuh dengan iman.

Akhlak Nabi Muhammad s.a.w adalah sahsiah terbaik untuk diteladani dan dicontohi. Terlalu banyak peristiwa-peristiwa yang menonjolkan tingkah laku dan sahsiah Rasulullah yang mulia seperti dalam konteks penghijrahan Rasulullah dalam menyebarkan Islam sehingga Islam bertapak hampir 2/3 dunia.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Ajaran Islam telah menuntut kita sebagai umat Islam berpakaian menutup aurat.  Aurat (Arab: عورة) merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.Antaranya:

Dalil Al Quran:
  “  Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah Al-A’raaf : Ayat 26)”

Dalil Hadis:
                  “ Aisyah meriwayatkan, bahawa saudaranya iaitu Asma' binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Rasulullah S.A.W dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya. Kemudian beliau berpaling dan mengatakan: "Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini - sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Hadis Riwayat Abu Daud)”.

Bersandarkan dalil-dalil daripada Al Quran dan Hadis, aurat lelaki dan aurat perempuan adalah seperti berikut:-

Lelaki
Di dalam mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah, aurat lelaki ialah diantara pusat dengan lutut, ini termasuk lelaki dan juga perempuan. Ini bermaksud mereka seharusnya menutup alat kemaluan dan bahagian diantara pusat dan lutut setiap masa kecuali atas dasar privasi. Mereka juga wajib memakai pakaian yang longgar dan tidak telus bagi mengelakkan warna kulit dan juga bentuk badan dilihat oleh golongan bukan ajnabi.

Wanita
Aurat wanita sangat komplikated dan berubah mengikut situasi:
• Dihadapan mahram(saudara lelaki rapat), seseorang wanita itu wajib menutup seluruh badannya kecuali muka  dan tangan.
• Dihadapan sesama wanita muslim, aurat perempuan ialah diantara pusat hingga lutut. ( Tapi perlu saling menghormati pandangan dengan memakai pakaian yang sopan dan tidak mededahkan tubuh badan.)
• Aurat dihadapan sesama wanita bukan Islam menjadi perdebatan. Sesetengah ilmuwan menyatakan wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Sementara, sesetengah ilmuwan lain berpendapat aurat perempuan muslim kepada bukan wanita bukan Islam ialah sama ketika mana mereka berada dengan sesama wanita Islam.
• Aurat dihadapan lelaki yang tiada pertalian tidak kira Islam mahupun bukan Islam adalah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Tetapi terdapat ilmuwan berpendapat, muka adalah aurat. Isu ini berlarutan termasuk yang sudah berlalu dan sedang berlaku, adakah ia hanya keafdalan atau hukum.
• Aurat ketika solat ialah wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Di sini telah dinyatakan serba sedikit mengenai batasan aurat iaitu yang mana wajib ditutup dan tidak wajib ditutup mengikut situasinya. Oleh itu, kami menyeru sahabat-sahabat yang beragama Islam dan mengaku beragama Islam agar menjaga aurat dan berpakaian mengikut syariat Islam. Perbuatan berpakaian dengan pakaian ketat, tidak berlengan dan tidak memakai tudung (perempuan), berpakaian atau berseluar tidak menutup paras lutut (lelaki) ketika keluar daripada rumah sama sekali dilarang oleh agama Islam kerana bertentangan dengan syariat Islam. Kami tidak dapat menghukum dosa-dosa anda namun Allah berhak menghukum. Selagi pintu taubat masih terbuka bersegeralah menggapainya.

marilah sahabat-sahabat, kita sama-sama berdoa....
" Ya ALLAH, ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami, ampunilah kejahilan, kemungkaran,serta dosa-dosa kami, ya Allah,.ampunilah dosa kelalaian kami dalam menjalankan kewajipan kami sebagai hambaMu..jadikanlah kami ya Allah, hamba2Mu yang bertaqwa, beriman serta sentiasa mensyukuri nikmat2Mu..jadikanlah kami muslimin dan muslimat yang soleh solehah, anak-anak yang soleh solehah serta pelajar-pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat..ya ALLAH, terimalah taubat kami...pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai..setiap kali kami menyebut namaMu yang suci lagi mulia, masukkanlah nur Iman ke dalam hati kami, agar kami sentisa khusyuk dan tunduk pada perintahMu..amin,amin ,ya Rabbal A'lamin.."

Salam Pembentukan Diri Ke Arah Sahsiah Unggul
KELAB RAKAN SURAU AR-RASHIDIN, BIRO LATIHAN &PEMBANGUNAN SAHSIAH(LPS),
KOLEJ HARUN AMINURRASHID...Universiti Pendidikan Sultan Idris


Tuesday 19 April 2011

Ukhwah

Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah,bersyukur terhadap Illahi kerana dengan limpah dan rahmatnya dapat saya bernafas dimuka bumi ini dan dapat menjalankan hidup mengikut syariat yang ditetapkannya,Alhamdulillah.

Sebelum masuk semester dua baru-baru ini,saya telah membuat beberapa pertemuan semula dengan beberapa orang alumni pusat Islam Kolej Matrikulasi Perlis dan saya berasa gembira dengan pertemuan ini kerana selama saya berada dikolej matrikulasi ini saya tidak pernah melihat senior kerana dimatrikulasi saya hanya menyediakan program satu tahun sahaja.Juga berkesempatan saya berjumpa dengan junior yang mewarisi Pusat Islam Kolej Matrikulasi,saya berasa gembira juga dengan berjumpa dengan mereka kerana mereka kelihatan bersemangat apabila melihat senior-senior mereka datang berjumpa dengan mereka.

Program ini berlangsung selama tiga hari sahaja,banyak juga program yang dapat dilaksanakan dan yang paling gembira semasa membuat bubur asyura bersama-sama senior dan junior,rasa semakin erat ukhwah kami apabila masing-masing membuat coretan dalam menyediakan bubur asyura ini.Pada permulaan memang bersemangat tetapi apabila bubur semakin pekat dan sukar dikacau,makin ramai pula yang cuba curi tulang dengan berehat namun itu tidak lama kerana begitu bersemangat menjadikan kami semakin rajin pula,tambahan pula apabila melihat muslimat berebut-rebut hendak cuba mengacau,apa lagi keegoan lelaki tercabar,jadi kami pun tidak mengalah.

Selesai memasak,masing-masing mengagihkan dalam bekas untuk diberi kepada pensyarah-pensyarah dan yang hadir membantu,memang berasa seronok kerana banyak manfaat kami dapat semasa membuat bubur asyura,antaranya belajar menghormati senior dan junior,menjadikan kita rendah diri dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Pada sepanjang malam saya berada disitu,kuliah maghrib berjalan dengan baik,banyak juga pengisian yang diberi dan juga YDP JPP sendiri yang member kuliah maghrib,masjid rasanya lebih hidup berbanding semasa batch saya,Cuma ada beberapa kekurangan yang saya lihat sepanjang berada disitu,iaitu mereka cuba bersaing antara pihak JPP dan Pusat Islam dalam menjalankan kerja-kerja dakwah,bersaing memang bagus tetapi dalam menjalankan syariat Islam,tidak perlu bersaing sebaliknya bekerjasama agar lebih jelas matlamat yang hendak dibawa,bukan menunjukkan mana pihak yang hebat dalam menjalankan kerja-kerja dakwah ini.

Pada hari seterusnya,kami menjalankan aktiviti latihan dalam kumpulan,aktiviti ini dijalankan pada waktu pagi dan secara santai sahaja kerana kami faham bahawa mereka banyak juga assignment yang perlu dihantar,jadi kami ringkaskan sahaja LDK ini kepada penjelasan matlamat hidup ini sebagai khalifah sepertimana dalam Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:
 “ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”

Aktiviti ini berakhir pada waktu hampir tengah hari,saya lupa pukul berapa. Pada waktu petang kami hanya menjalankan eksplorace secara santai sahaja sekadar melepaskan tekanan dalam kesibukan belajar.

Pada hari terakhir,kami membuat sedikit refleksi,setiap senior yang ingin menyampaikan pesanan dipersilakan dan banyak juga pesanan yang diberikan kepada kami semua sebagai peringatan termasuk saya sendiri yang memyampaikan sedikit peringatan terutama buat diri saya sendiri,paling saya tekankan agar dalam menjalankan kerja-kerja Islam hendaklah secara ikhlas hanya kerana Allah S.W.T.,bukan kerana jawatan yang kita pegang ataupun pernah pegang tetapi Ikhlas kerana Allah dalam menyampaikan dakwah Islam ini sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam surah Al-‘Ashr:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Selesai semua itu,penyampaian hadiah kepada setiap adik-adik junior kami,selepas itu kami menjamu selera dengan makan nasi dalam talam,sedap juga masakan muslimat tetapi bertambah sedap kerana kami makan dengan penuh rasa ukhwah dan kasih sayang kami antara satu sama lain.
Wa’aallahua’lam,
Mari Merebut Cinta Hakiki^_^


 Bersama-sama masak Bubur Asyura


Sesi bergambar bersama-sama sebagai kenangan

Sunday 17 April 2011



 " Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanyasanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'
Berusaha Mencari Cahaya Adalah Lebih Baik Daripada Terus Menyumpah Kegelapan

Mari merebut cinta hakiki ^_^

Tuesday 12 April 2011

Hero KIta...?






Disini ada sedikit perkongsian yang dapat sama-sama kita renungkan yang saya perolehi daripada sahabat saya,semoga menjadi renungan dan muhasabah kepada kita semua... 

KRISIS ROLE MODEL!!!

Risau melihat suasana yang ada pada hari ini.

Resah hati bila melihat anak-anak kecil sudah mula berani mengungkapkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya diungkapkan.

Fenomena luar biasa yang menjadi kebiasaan pada hari ini !

Hari ini, yang sentiasa bermain dibibir anak-anak kecil kita ialah ‘hero-hero ciptaan’ orang bukan Islam.

Wujud di alam fantasi, tidak realiti !

“Nebius ! “ seorang kanak-kanak menggayakan kemunculan Ultraman Nebius.

“Go, go Power Rangers !”

Superman, Batman, dan entah apa lagi ‘man’ yang ada.

Hari ini, itu yang menjadi contoh dalam hati anak-anak kecil.

Mereka ingin jadi seperti itu. Kononnya hero yang menyelamatkan dunia.

Sudah jarang kedengaran, “Saya ingin jadi seperti Khalid Al-Walid !”

“Saya ingin jadi sepeti Umar al-Khattab, langkahnya digeruni syaitan !”

UMMAT KEHILANGAN ARAHTUJU...

Mungkin ada yang akan berkata, “Ah, mereka itu masih kecil lagi ! Biarlah mereka seronok dan bersuka-suka dahulu.”

Bagi saya, terdapat kesilapan besar di situ. Pokok yang baik itu bermula sejak kita menjaganya dari awal kita menanamnya, sejak dari tunasnya lagi.

Bangunan yang besar bermula dari batu-bata yang kecil.

Tunas yang rosak, tidak mungkin menghasilkan pokok yang baik.
Batu bata yang hancur, mana mungkin membentuk bangunan !

Begitulah anak-anak kecil. Sejak kecil sudah didedahkan dengan kehidupan fantasi, maka mindanya lahir dalam keadaan tidak melihat realiti mengakibatkan dia turut terperangkap dalam realiti yang ada.

Ultraman, Batman dan sebagainya itu adalah kehidupan yang tidak mungkin dapat diterjemahkan ke bentuk realiti sehingga bila-bila pun.

Ia mungkin dapat menyelamatkan manusia dari pelbagai bentuk jenayah fizikal, tetapi ia tidak dapat menyelamatkan jenayah dan maksiat yang berlaku dalam hati manusia. Ia tidak sekali-kali dapat membantu menyelesaikan fenomena IMAN yang berlaku hari ini.

Tidak sekali-kali !

Akhirnya, kanak-kanak hari ini didedahkan dengan kehidupan yang hilang arah tuju.
Kehidupan yang tidak ber-Illahkan Allah, hilang matlamat, rendah pula cita-cita.

Hidup untuk menjadi hero fantasi semata, tidak realiti.
‘Hero realiti’ itu bila IMAN dibumikan dalam kehidupan.
Namun, hal itu tidak berlaku hari ini.

Contoh-contoh seperti Muhammad Al-Fateh, Sultan Salahuddin Al-Ayubi, Abu Ayyub Al-Ansari tidak gah lagi dalam kalangan anak-anak hari ini.

Siapa contoh mereka?
Siapa teladan ikutan mereka?

Artis antarabangsa, pelakon filem, dan pelbagai lagi idola mereka.
Kita kehilangan …
Kita kehilangan …

CERITA-CERITA HEBAT YANG DI’PADAM’ DARI INGATAN DAN PENGHAYATAN...

Mus’ab bin Umair, Khalid Al-Walid dan Ali bin Abi Talib adalah antara contoh-contoh KEIMANAN yang diiktiraf oleh Allah dalam Al-Quran.

Merekalah sebenarnya ‘hero’ dunia. Mengeluarkan ummat dari kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

Mereka itu contoh-contoh yang hidup. Benar-benar ada.
Bukan ‘diada-adakan’.

Jarang hari ini kita mendengar anak-anak kecil bercita-cita menjadi Khalid.
Sedikit sekali yang ingin menjadi seperti Umar Al-Khattab.
Berapa ramai pula yang bercita-cita menjadi Al-Fateh?

Mereka adalah orang yang telah menyelamatkan jiwa-jiwa dan hati-hati manusia daripada kegelapan maksiat dan dosa kepada sinar kebenaran dan kebaikan.

Namun, cerita-cerita mereka itu dipadamkan dari ingatan apalagi penghayatan ummat. Yang ada hanyalah cerita rekaan, fantasi yang tiada penghujungnya.

Hari ini, lambakan filem dan cerita hantu membanjiri bumi ini. Hantu pula dihias dan dicorak dengan pelbagai jenis rupa bentuk dan nama. Entah manalah datangnya.

Maka, tidak selesailah masalah ‘takut’ yang ada di jiwa anak-anak kerana rasa takut tidak diarahkan pada tempat yang sepatutnya.
Keliru antara takutkan Allah dan takutkan hantu?
Fenomena yang kian hari menghakis IMAN.

Lalu, penyelesaian apa yang ada untuk ini semua?

KITA PERLU MENGHIDUPKAN ‘CONTOH’ ITU!...

Mereka itu sudah lama meninggalkan kita. Namun, mereka tinggalkan untuk kita kisah-kisah IMAN yang perlu kita lalui dan hidup bersama kisah itu.

Mendengar cerita mereka, membuatkan kita jadi begitu kagum sekali dengan kekuatan yang mereka miliki.
Kadang-kadang, mengalir air mata membandingkan usaha kita dengan usaha mereka untuk deen Islam ini yang begitu jauh bezanya. Membandingkan kemampuan yang ada pada kita dengan yang mereka miliki.
Tersenyum, tertawa dan tertangis dengan kisah –kisah suka duka mereka.

Ya. Mereka contoh keimanan yang hidup.
Hidup mereka benar-benar di atas IMAN.
Merekalah yang memberi KEHIDUPAN kepada dunia ini.

Dunia ini mati tanpa orang-orang seperti mereka. Mereka bukanlah kaum padang pasir yang mundur. Tetapi merekalah generasi yang berkorban segalanya untuk Islam menguasai hampir 2/3 dunia suatu ketika dulu.

Merekalah contoh sebenarnya untuk anak-anak kecil.
Anak-anak kecil yang hari ini dahagakan contoh untuk mereka teladani dalam kehidupan.
Akhirnya contoh yang wujud dalam suasana yang ada pada hari ini mendominasi pemikiran dan tingkahlaku mereka.

Lalu, bagaimana contoh itu kita dapat soroti semula?
KITALAH ! Kitalah jawapannya …
Kitalah yang perlu menghidupkan semula contoh-contoh itu.

Hiduplah dengan IMAN. Bawalah contoh-contoh itu dalam cerita-cerita kita.
Bukan kisah-kisah Sang Kancil dan Sang Buaya mahupun Si Arnab dan Kura-kura semata.
Tetapi, contoh yang lebih nyata dan ‘real’ untuk mereka, itulah yang sepatutnya didedahkan.

Usaha untuk membangunkan anak-anak luar biasa itu bukan semata-mata tertumpu pada aspek pelajarannya, tetapi pada aspek pembangunan hubungannya dengan Rabbnya.

Mari merebut cinta hakiki^_^

Sunday 10 April 2011



Dari Ibn Umar r.a., katanya : " Rasulullah SAW telah memegang bahuku dan bersabda : ' Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau, atau pengembara. ' Maka Ibn Umar berkata : "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi. Dan jika engkau berada di waktu pagi maka janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah waktu sihatmu sebelum datang waktu sakit. Dan gunakanlah waktu hidupmu sebelum datang waktu mati. "


Friday 8 April 2011

Nikmat



Bismillahirahanirahim,

Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah,bersyukur terhadap Illahi kerana dengan limpah rahmatNya dapat lagi saya hidup dimuka bumi ini untuk berbakti kepada agama sebagai khalifah dimuka bumi ini,Alhamdulillah.Tidak disangka bahawa hampir sebulan lebih saya menulis dalam blog cintaillahi-fadhlan ini kerana tidak pernah saya sangka bahawa saya akan istiqamah dalam penulisan ini dan saya berharap saya tetap istiqamah dalam penulisan ini walaupun sedikit kerana diantara amalan yang paling disukai Allah S.W.T. ialah istiqamah walaupun sedikit dan berusaha meningkatkannya.

Banyak diantara kita termasuk saya sendiri pun lupa walaupun tahu bahawa ianya sentiasa bermain ditelinga kita iaitu nikmat kesihatan dan lapang masa.

Sahabat-sahabat sekalian,nikmat kesihatan ialah nikmat yang diantaranya nikmat yang paling besar yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada hambaNya.Cuma,tidak ramai yang merasai ianya nikmat yang besar kerana kita tidak pernah mengambil peduli akan nikmat itu kerana ianya biasa dalam kehidupan kita,terutama bagi yang muda atau pemuda pemudi.Ramai pemuda pemudi yang banyak menghabiskan tenaga mereka dijalan yang kebanyakkan dikatakan sia-sia seperti melepak yang tidak sihat atau sia-sia,tidak menggunakan tenaga muda ini untuk menuntut ilmu sebanyak mungkin,kurang meningkatkan ibadat dan bermacam-macam lagi tenaga muda atau tenaga semasa sihat kita gunakan kepada jalan yang kurang bermanfaat."Ala bro,umur masih muda,kita enjoy dulu","Ala,buat apa belajar-belajar banyak-banyak,bukan masuk kubur pun,buat penat ja",dan bermacam-macam lagi seribu satu alasan yang kita dengar dan mungkin kita sendiri yang bagi,alangkah sia-sianya kita,dimasa kita sihat,kita gunakan untuk perkara yang sia-sia.

Nikmat kedua yang paling kita sering lupa dan mungkin kita tidak perasan ialah nikmat masa lapang.Cuba sahabat-sahabat sekalian dan saya sendiri imbau kembali semasa kita kecil dulu,satu hari bagaikan seminggu bahkan lebih pada itu,banyak perkara dapat kita buat dan kadang-kadang kita rasa bagaikan semua yang kita buat dapat kita buat dalam masa sehari sahaja.Bila kita semakin meningkat dewasa,semakin banyak perkara pula yang kita tidak dapat buat dalam masa sehari,kalau dua senarai benda yang kita hendak buat dalam sehari,kadang-kadang tidak selesai satu pun dalam sehari kerana nikmat masa lapang kita semakin ditarik sedikit demi sedikit,Masya-Allah,tidak perasan bahawa semakin singkat masa kita saban hari menunjukkan bahawa kita kena semakin banyak menggunakan masa yang ada ke jalan yang diredhaiNya,bukan semakin kita besar,semakin besar masa kita disia-siakan.

Jadi,bagaimana sahabat-sahabat sekalian,terpulang pada sahabat dan sahabiah sekalian ,terpulang kepada anda untuk memikirkan akan nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. untuk digunakan kepada jalan yang diredhai atau dimurkai.Oh,tidak lupa juga doa daripada sahabat dan sahabiah sekalian,doakan saya untuk menghadapi peperiksaan akhir semestar tidak lama lagi dalam seminggu bermula saya postkan artikel ini,sebab itu lambat sikit saya postkan artikel ini,doakan saya agar diberikan keputusan yang cemerlang dan dipermudahkan segala urusan saya.

Mari merebut cinta hakiki ^_^