Sunday 29 September 2013

Indahnya ditutup



Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat Illah kerana dengan limpah kurna RahmatNya masih lagi dapat kita bernafas di muka bumi ini dengan nikmat yang dikurniakan olehNya yang tidak terhingga, mudah-mudahan kita termasuk dikalangan hambaNya yang sentiasa mendapat keampunan dan hidayah agar kita tetap berada dalam landasan yang sentiasa diredha olehNya, InsyaAllah.

Firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."


Satu kisah yang ringkas namun sangat bermanfaat untuk kita semua sama-sama renungkan, kisah ini mengisahkan seorang Imam yang cukup terkenal dalam Imam-Iman Mazhab iaitu Imam Ahmad bin Hambal yang mana semasa beliau sedang mengangkat barangnya di pasar, ramai orang secara sukarela ingin membantu Imam Ahmad kerana kesian dan menghormatinya kerana dia adalah Imam yang sangat terkenal. Namun apa yang berlaku sebaliknya, Imam Ahmad menangis apabila ramai orang ingin menolongnya kerana dia terkenal. Orang ramai kehairanan lalu bertanya kepada Imam Ahmad, lalu Imam Ahmad menjawab jika orang tahu akan keaibannya, nescaya orang ramai akan mengambil pasir lalu meletakkan dikepalanya.


Maha Suci Allah,

Seorang Imam yang sangat warak lagi berilmu tidak sedikitpun merasakan gelaran yang diberikan oleh manusia merubah dirinya menjadi sombong namun sebaliknya semakin menjadikan dirinya semakin zuhud dan semakin merendah diri. Imam Ahmad seorang yang sangat sedikit keburukannya bahkan amat sukar mencari kesalahannya tetap berasa sangat malu apabila orang ramai memujinya kerana hanya Allah dan dia tahu akan dirinya sahaja.


Agak-agak kita kalau dipuji sedikit macam mana rasanya ?

Hebatnya kita bukan kerana kita hebat
Hebatnya kita kerana Allah menutup aib kita dihadapan manusia lain

Kerana diantara nikmat yang terbesar yang Allah kurniakan kepada hambaNya ialah nikmat manusia lain tidak mengetahui keaiban kita.

Bayangkan jika setiap orang kita jumpa mengetahui keaiban kita, sudah tentu kita menjadi tidak tentu hala.

Mana tidaknya, 

Kita hilang kepercayaan orang  terhadap diri kita,
Hati menjadi tidak tenteram
Dan pelbagai lagi kita rasa dan tidak selesa disebabkan semua orang tahu akan keburukan diri kita.

Semoga kita dipelihara dan dimasukan ke dalam hamba yang diredhaiNya

InsyaAllah

Mukmin sejati merebut cinta hakiki