Wednesday, 28 May 2014

Belajar bukan sekadar menghafal.





Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, bersyukur terhadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya mampu kita berjalan dimuka bumi ini dengan mengecapi segala nikmat yang dikurniakanNya tanpa mengira bangsa dan agama. Semoga kita berada dalam kalangan hamba yang diredhaiNya, InsyaAllah.

Pejam celik, pejam celik, sudah hampir menamatkan pengajian di muka bumi murobbi ini yang penuh dengan pelbagai suka dan duka sepanjang menuntut di UPSI ini. Pelbagai ragam dan karenah yang jumpa sepanjang menuntut disini sehinggakan juga tidak terfikir atau terlintas dikepala sebelum memasukki UPSI ini yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh cendikiawan sebelum UPSI dinaikkan sebagai universiti, sebelum itu UPSI dikenali sebagai IPSI, sebelum IPSI juga dikenali sebagai SITC dan seterusnya pelbagai nama diberikan kepada institusi ini yang belum saya mampu menghafalnya. Pun begitu, suka saya katakan, bersyukur terhadrat Illahi kerana banyak hikmah yang saya dapati sepanjang menuntut disini dan berharap tidak berakhir sampai disini sahaja pembelajaran saya.

Memulakan perjalanan sebagai seorang mahasiswa Ijazah sarjana muda bukanlah semudah yang difikirkan. Bukan kerana sukarnya subjek pembelajaran dan tidak juga sukarnya berurusan dengan pelbagai keadaan disini kerana apabila kita sudah biasa dengan keadaan disini dan mula belajar sikit demi sedikit, dengan izin Allah kita akan lalui dengan mudah apabila sudah terbiasa dengan keadaan disini.

Tetapi apa yang penting apa yang terjadi pada saya dan apa yang saya peroleh sepanjang disini untuk menghadapi dunia luar.

Mungkin sebahagian daripada kita sudah merasakan bahawa dengan mendapat keputusan yang cemerlang sudah memadai untuk menghadapi dunia luar ataupun yang sangat aktif dengan pelbagai aktiviti sama ada anjuran pihak universiti ataupun pihak luar. 

Namun persoalannya, 

Apakah dengan hanya mendapat dekan kita sudah dikira matang ?

Apakah dengan kita bersuka-ria menyertai pelbagai aktiviti hanya untuk kepuasan kita sepanjang menjadi mahasiswa akhirnya tidak mampu membentuk diri kita dengan lebih baik.

Persoalan ini sering kali bermain difikiran saya sepanjang menuntut disini dan mungkin pelbagai persoalan yang banyak yang tidak mampu saya luarkan dalam bentuk tulisan ataupun kata-kata. Apa-apapun tulisan ini bukanlah untuk meluahkan perasaan, cuma sedikit persoalan yang bermain difikiran saya yang hendak saya kongsikan. Semoga Allah memelihara dan memberi petunjuk kepada kita semua.

Sekali-sekala saya melihat gelagat mahasiswa yang pada pandangan saya hanya sekadar mahasiswa yang "read and tell". Membaca dan mengulang kaji pembelajaran, menyiapkan assignment dan akhirnya meluahkan dalam dewan peperiksaan dan mendapat keputusan yang cemerlang tetapi tidak membawa apa-apa perubahan pada diri. Mungkin pengetahuan bertambah, namun ianya menjadi sekadar maklumat yang hanya digunakan apabila tibanya soalan dan selepas itu simpan dalam "hard disk" kepala kita.

Pembelajaran kita tidak membawa kita semakin mendekatkan diri kepada Allah.

Kita hanya belajar sekadar dipinggiran sahaja, langsung tidak membawa perubahan.



Di dalam surah Al-'Alaq ayat 1-10  yang bermaksud :


1.  Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,

2.  Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

3.  Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,

4.  Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,

5.  Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

6.  Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

7.  Karena dia melihat dirinya serba cukup.

8.  Sesungguhnya Hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).

10.  Seorang hamba ketika mengerjakan shalat



Ayat ini seringkali kita mendengar bahkan boleh saya katakan majoriti kita apabila ditanya apakah surah pertama yang diturunkan, jawapannya ialah Surah Al-'Alaq. Di manakah surah ini diturunkan, jawapnya di Gua Hira', Mekah. Dan seterusnya yang sebahagian daripada kita mengetahui sejarah surah ini.

Namun apa yang saya hendak kongsikan bahawa ini merupakan perintah Allah yang mana mengajar kepada kita untuk menuntut ilmu supaya semakin kembali kepadaNya, yakni kembali kepada segala perintah larangan dan suruhanNya kepada kita. Dalam ayat diatas juga membuatkan saya rasa ibarat dijentik apabila membaca ayat diatas yang mana Allah memberi amaran kepada manusia kerana melampaui batas dan berasa serba cukup, iaitu secara mudahnya rasa pandai.

Allah memberikan peringatkan kepada kita agar mempelajari ilmu bukan membuat kita semakin ego atau semakin tidak takut kepada Allah, tetapi mengajar kepada kita supaya semakin kita belajar, semakin kita dekatkan diri kepada Allah. 

Macam mana hendak dekatkan diri pada Allah ?

Allah memerintahkan kepada kita agar membaca dengan namaNya, iaitu menghadirkan rasa kehambaan kita dalam menuntut ilmu. Seseorang hamba yang belajar mengikut kaedah yang Allah perintahkan akan membuatkan dia semakin faqih. 


Faqih tidak sama dengan menghafal. 


Seseorang yang penuntut yang faqih ialah penuntut yang bukan sahaja cemerlang dalam pembelajarannya, bahkan membuatkan jiwa dia semakin takut dan tunduk kepada Allah, tidak merasa puas menambahkan ilmu . Juga tidak merasa sombong bahkan semakin membentuk akhlaknya sebagai seorang yang dikatakan belajar atau menuntut ilmu dengan murni sekali.

Berlainan pula dengan orang yang hanya menghafal ilmu. Apa yang dia pelajari tidak membawa apa-apa perubahan kepadanya bahkan membuatkan dia semakin jauh daripada Allah. Ilmu yang dipelajari tidak mengikut kaedah yang Allah perintahkan menyebabkan dia ibarat manusia yang "read and tell" , sekadar manusia yang menghafal tetapi tidak mempunyai jiwa kehambaan.


Kesimpulan,

Pembelajaran bukan sekadar mencantikkan slip peperiksaan bahkan bukan sahaja memenuhi sijil anugerah kecermelangan kita tetapi yang penting apakah buah hasilnya sepanjang pembembelajaran kita tidak kira dalam kelas atau melibatkan dalam pelbagai aktiviti namun pastikan kita mendapat hasil daripada apa yang kita pelajari dan apakah hasil yang kita belajar semakin membentuk diri kita menjadi hamba yang sesuai dengan perintah Allah dalam Surah Al-'Alaq diatas, ataupun sebaliknya. 

Mari Merebut Cinta Hakiki

Tuesday, 25 March 2014

Membuat Orang Bersalah

          


       Alhamdulillah, bersyukur terhadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya masih lagi kita bernafas dimuka bumi ini dan juga diberikan peluang untuk bertaubat sebelum nyawa kita diambil oleh Illahi untuk dihitung segala amalan yang teah kita kerjakan didunia ini. Semoga Allah menjemput kita dalam keadaan kita sempat bertaubat dan berada dalam keredhaanNya, InsyaAllah.

BOB( Buat Orang Bersalah ) ialah istilah yang saya dapat daripada VBlog seorang yang tidak asing lagi bagi siapa yang mengikuti perkembangan beliau iaitu MatLufi. Dalam video beliau banyak pelajaran yang saya dapati dan mungkin kebanyakan daripada kita telah lalui sikap sesetengah masyarakat yang suka buat kita bersalah dengan nampak pada mereka tegeruan tapi mungkin tak ramai yang tahu telah mencampakkan perasaan bersalah ini pada diri seseorang dan mungkin memberi impak padanya.

Video Matlufi

 https://www.youtube.com/watch?v=jV5Kefw80M4


Mungkin kita biasa suka membuat orang rasa bersalah dengan anggapan bahawa dia akan mempelajari daripada kesilapannya tanpa kita berfikir dengan waras atau rasional kesan perbuatan kita terhadap seseorang. Tapi hakikatnya kita bukan menegur tetapi membuat dia rasa bersalah dan sebenarnya rasa bersalah ini boleh memberikan impak kepada emosi seseorang menyebabkan tekanan dan datang satu perasaan yang memberikan impak pada dirinya.

Daripada sudut Psikologi pula, secara umumnya ini dipanggil buli emosi dimana buli ini tidak akan memberikan kesan yang negetif pada badan seperti kecederaan namun ia akan memberikan kecederaan yang serius pada jiwa seseorang dan mungkin menyebabkan ianya menjadi tekanan atau terbawa-bawa perasaan dan lebih parah lagi tekanan jiwa atau dendam.

Dalam majalah Anis keluaran Mac 2014 dalam Kolum terakhir majalah ini menarik perhatian saya iaitu kolum celik siber yang bertajuk Buli Siber vs Buli bersemuka. Apa yang menariknya ialah satu kajian oleh CyberSecurity Malaysia, DIGI, dan Kementerian Pelajaran, dalam 9,651 pelajar di 459 sekolah diseluruh negara, satu daripada empat pelajar mengaku pernah menjadi mangsa buli siber dan satu daripada tiga pembulian dilakukan menggunakan Facebook atau blog .

Belum lagi kajian ini dijalankan dikalangan pelajar IPT, orang awam dan sektor pekerjaan dan pada pengamatan saya pelajar IPT mungkin boleh jadi hampir sama bilangan diatas atau lebih. 

Lebih parah lagi jika ada individu yang mencerminkan Islam menggunakan dalil-dalil agama yang mungkin pada secara kasar macam betul mereka baca bagi  "menghentam" orang namun mereka pada hakikatnya tidak mempelajari tafsir ayat-ayat tersebut apakah sebabnya ayat tersebut diturunkan dan bagaimana pula tafsiranya. Belum lagi ada sesetengah ayat didalama Al-Quran membawa makna lebih daripada sau tafsiran.  

Mungkin merasakan itulah hikmah tapi pada hakikatnya hanya membuli emosi orang atau membuat mereka rasa bersalah sahaja.

Ahlak Rasulullah S.A.W.

Suka juga saya ingin kongsikan kuliah yang saya dengar semalam daripada Dr MAZA memalui new.livestream yang mana beliau mengajarkan kitab Riyadatus Solihin yang mana satu hadis mengisahkan seorang sahabat yang bernama Muawiyyah Ibu Hakam R.A. yang mana kisahnya apabila beliau solat berjamaah di masjid Nabi, ada sahabat lain yang bersin dan beliau menjawab bersin tersebut semasa solat. Sahabat lain memandang Muawiyyah Ibu Hakam R.A. membuatkan seperti dia rasa tidak selesa bahkan ada riwayat yang mengatakan dia bertanya semasa solat kenapa mereka memandang dia.

Setelah solat, Muawiyyah Ibu Hakam R.A. menceritakan setelah solat Baginda S.A.W. berpaling padanya namun dengan wajah yang tenang bahkan tidak ada kerukan pada muka baginda membuatkan Muawiyyah Ibu Hakam R.A. semakin sayangkan Nabi kerana baginda menggunakan perkataan yang lunak jauh sekali ada kekasaran pada teguran Baginda S.A.W.

Banyak kisah lain yang mana juga ada Sahabiah( gelaran kepada sahabat wanita ) yang telah melakukan zina dan meminta dia dihukumkan. Apa yang menarik, Baginda berpaling sedangkan pada waktu itu telah disyariatkan hukuman hudud. Namun wanita itu tetap meminta Baginda S.A.W menhukumnya dan Baginda minta dia selesaikan kandungannya sehingga lahirnya anak. Dikatakan sehingga dua tahun setelah selesai penyusuan anaknya dia masih lagi minta baginda menghukumnya dan akhirnya Baginda menunaikan permintaannya.

Semasa hukumun dijalankan, ramai sahabat yang memakin hamun namun baginda menegahnya kerana dia telah bertaubat. Tidak hairanlah siapa yang mengenali akhlak Rasulullah S.A.W semakin sayang bahkan cinta akan baginda melebihi cinta terhadap ada yang berada didunia ini.

   
Kesimpulan,

Elakkan membuat orang rasa bersalah namun pada hakikatnya kita telah membuli emosi mereka dan kena hati-hati, jika apa yang kita lakukan itu satu penyakitan, ingat Allah mengakbulkan doa orang yang dizalimi.

BOB, Buat Orang Bersalah lawanya ialah Hikmah dan hikmah tidak akan datang melainakn dengan mempunyai kebijaksanaan. Didalam satu falsafah yang pensyarah saya katakan sampai sekarang melekat di hati saya ialah kebijaksanaan berdiri atas kebenaran dan sesuatu yang selainnya bukanlah kebijaksanaan, 


Mari Merebut Cinta Hakiki





Sunday, 23 March 2014

Mencipta Masa Hadapan



Alhamdulillah, bersyukur terhadrat illahi kerana dengan limpah kurniaNya masih lagi mampu bernafas dan berjalan dimuka bumi yang menjadi tempat persinggahan kita yang hanya sementara untuk kita mengutip dan mencari keredhaanNya menurut apa yang telah dipandukan olehNya. Mudah-mudahan kita termasuk dikalangan orang yang Allah redhani.

Beberapa hari yang lalu, keputusan SPM telah diumumkan, banyak juga post yang menunjukkan ramai adik-adik yang berjaya dalam keputusan SPM, syabas saya ucapkan dan tidak kurang juga yang tidak mencapai keputusan yang mereka inginkan, InsyaAllah ada rezaki di lain hari.


Apabila saya melihat gelagat adik-adik yang mengambil keputusan SPM, terimbas kembali juga semasa dizaman saya ketika mengambil keputusan SPM. Ada yang meloncat gembira, ada yang biasa-biasa sahaja, dan ada juga yang sedih melihat keputusan mereka yang tidak mencapai seperti yang mereka ingin, InsyaAllah, Allah ingin menganti dan memberi yang lebih baik di masa akan datang.


Kebanyakkan kita yang sebaya atau telah lalui SPM, telah lalui detik-detik yang sama seperti adik-adik yang lalui semasa mengambil keputusan SPM dan mungkin ada dikalangan kita sudah lali dengan suasana ketika mengambil keputusan SPM bahkan menagak apa yang bakal berlaku setiap kali keputusan SPM diumumkan kerana setiap tahun drama yang sama akan dimainkan.


Cuma, apa yang menjadi persoalan saya, adakah kita mencipta masa depan atau menyalin masa depan ?


Jika ingin masuk institusi pendidikan sama ada awam atau swasta, itu sudah menjadi kelaziman sepanjang tahun bahkan jika ingin bekerja terus selepas keputusan pun menjadi kelaziman sepanjang tahun.


Namun, apa yang saya lihat, tak ramai ingin mencipta masa depan....
Kita ibarat satu mesin yang kehilangan jiwa atau ruh.


Kita mungkin bangga mencapai matlamat kita, namun kita tidak akan mencipta masa depan selagi mana masa depan kita bukan mengikut acuan yang digariskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Jika acuan kita tidak mengikut Al-Quran dan As-Sunnah, kita hanya ibarat mesin sahaja, hilang rasa peduli akan agama dan tidak mengambil kira kita ini telah mengikut apa yang Allah pandukan. 

Kita mungkin hebat dan apa jua bidang
Kita mungkin telah bangkit daripada kegagalan yang mana kita gagal daripada satu bidang yang kita ceburi.


Tetapi...

apa maknanya jika kejayaan yang kita kecapi tanpa pedoman hidup ?



Kita hanya menyalin hidup manusia biasa sahaja yang bukan mencipta masa depan, tetapi menyalin masa depan orang lain .

Muslim yang megikut apa yang Allah perintahkan sepenuhnya bukan sahaja mampu mencipta masa depan, bahkan mempu mengubah masa ke arah yang lebih baik.

.Namun...jika muslim itu tidak mengendahkan perintah Allah, kita hanya menyalin sahaja masa depan tanpa mencipta bahkan jauh sekali mengubah masa depan kearah yang lebih baik kerana kita hanya menyalin, bukan mencipta.

Jadilah jiwa yang mencipta masa depan kerana dengan hanya mencipta masa depan, kita mampu mengubah ke arah yang lebih baik sedikit sebanyak sekalipun daripada kita menyalin masa depan yang telah ditaman dalam fikiran kita yang hanya mementingkan diri tanpa peduli keadaan dan masa depan muslim .

Mari merebut cinta hakiki.



Saturday, 25 January 2014

Menjadi Insan Permata



           Bersyukur terhadrat Illahi dengan limpah kurnaNya masih lagi kita diberikan peluang untuk bernafas dimuka bumi untuk meneruskan perjalanan sebagai seorang insan untuk mencari keredhaanNya walaupun kadang-kala kita tersilap melakukan kesilapan terhadap saudara kita sendiri dalam mencari keredhaanNya,semoga Allah merahmati dan mengampuni kita atas kesilapan yang kita lakukan dan semoga diberi peluang untuk memperbaiki sebelum kita pulang menghadapNya.

Telah dikejutkan kita perginya seorang dai'e yang tidak asing lagi bagi sesiapa yang sering mengikut beliau dan juga bagi sesiapa yang tidak jemu menadah dan mencatat segala ilmu yang beliau sampaikan sebagai pedoman untuk menghadapi kehidupan. Semoga Allah merahmati dan mencucuri beliau. 


Allahyarham Tuan Guru Ustaz Harun Taib

Seorang ulama' yang menjalankan tugasnya dengan jujur dan ikhlas adalah ibarah permata yang semakin lama semakin bernilai, semakin lama semakin dicari kerana nilai ilmu yang ada padanya dan juga kejujurannya dalam menyampaikan ilmu menyebabkan dia semakin dicari dan semakin bernilai. Teringat saya satu kata-kata seorang insan, jika kita melahirkan seorang penjahatm kita memerlukan sepuluh orang polis untuk menjaganya, jika kita melahiran seorang ilmuan, dia akan menjaga satu masyarakat.


Menjadi insan permata





Permata tidak memilih pemilik, tetapi pemilik yang memilih permata


Menjadi insan permata, perlukan kesungguhan dalam mengubah masyarakat.

Tidak kira siapapun kita, pelajar, guru, ahli akedemik , peniaga dan pelbagai lagi

Selagimana kita ada usaha untuk menbawa kebaikan kepada masyarakat terutama dalam pembentukan modal insan

InsyaAllah, kita adalah permata di sisi Allah jika kita buat dengan penuh kesungguhan, keikhlasan serta sentiasa memohon agar kita berada dilandasan yang benar

Hasilnya mungkin kita tidak sempat merasai atau melihat, tetapi mungkin generasi akan datang akan merasai hasil usaha kita.

Ringkasnya semua orang mampu menjadi permata selagimana dia mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. 



Mari merebut Cinta Hakiki

Wednesday, 1 January 2014

Semoga tahun ini lebih baik daripada sebelumnya


      Bersyukur terhadrat Allah kerana dengan limpah kurniaNya masih lagi diberikan peluang untuk bernafas di muka bumiNya ini yang pernuh dengan limpahan Rahmat dan Nikmat yang tidak terhingga. Setiap insan tidak mendapat nikmat yang sama kuantitinya kerana ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang sederhana sahaja tetapi apa yang membuatkan insan ini kaya ialah apabila timbul rasa syukur terhadap nikmat yang diperolehinya. Islam telah mengajar umatnya agar sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang diperolahinya dengan sentiasa meningkatkan usaha kearah yang semakin berkualiti, tidak sombong, sentiasa membantu sesama masyarakat semampu yang boleh dan banyak lagi kebaikkan yang boleh diberi.

Pertama sekali, saya ucapkan Selamat Menempuhi Tahun Baru kepada semua pembaca-pembaca blog saya ini dan memohon maaf disebabkan tidak mampu istiqamah pada tahun yang lalu dengan tidak post selama dua bulan akibat kekeringan isi yang hendak disampaikan. :)



Berdasarkan link yang saya berikan diatas, mungkin isu ini boleh dikatakan lapuk di dalam kalangan masyarakat kita. Boleh dikatakan setiap sambutan yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan keesokkan pasti terpapar di dada media isu tersebut. Semakin lama semakin menjadi-jadi dan apa yang menjadi kerisauan saya yang ingin dikongsikan kepada sahabat sekalian bimbang jika yang terlibat itu insan yang mempunyai hubungan keluarga atau yang menjadi sahabat atapun kenalan kita yang terlibat dalam hal diatas. Semoga Allah memelihara kita semua dan insan disekeliling kita.


Persoalan yang sentiasa bermain difikiran saya apabila melihat kes ini dan seumpamanya :


Perlukah kita melakukan hubungan secara haram setiap kali ada pesta ?

Adakah dengan melakukan hubungan secara haram menunjukkan kasih dan taat setia pada pasangan?

Sukakah kita apabila melihat hal-hal ini sentiasa berlaku dalam masyarakat kita saban hari ?

Terlalu murahkan maruah kita untuk digadaikan kepada seseorang yang tidak memikul dosa kita ?

dan pelbagai persoalan yang mungkin akan timbul pada masa akan datang.



Dalam Al-Quran, Allah telah memberikan peringatan kepada kita semua, baik lelaki mahupun perempuan dalam suran An-Nur ayat 30 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."


Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."


Sama-sama kita muhasabah dan mengambil iktibar dalam hal ini. 

Semoga Allah memelihara kita dan bersama-sama menangani hal ini agar dapat melahirkan generasi yang lebih bermaruah dan memelihara diri daripada perbuatan yang mengundang musibah.


Muslim Sejati Pencetus Ummah