Wednesday, 28 May 2014

Belajar bukan sekadar menghafal.





Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, bersyukur terhadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya mampu kita berjalan dimuka bumi ini dengan mengecapi segala nikmat yang dikurniakanNya tanpa mengira bangsa dan agama. Semoga kita berada dalam kalangan hamba yang diredhaiNya, InsyaAllah.

Pejam celik, pejam celik, sudah hampir menamatkan pengajian di muka bumi murobbi ini yang penuh dengan pelbagai suka dan duka sepanjang menuntut di UPSI ini. Pelbagai ragam dan karenah yang jumpa sepanjang menuntut disini sehinggakan juga tidak terfikir atau terlintas dikepala sebelum memasukki UPSI ini yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh cendikiawan sebelum UPSI dinaikkan sebagai universiti, sebelum itu UPSI dikenali sebagai IPSI, sebelum IPSI juga dikenali sebagai SITC dan seterusnya pelbagai nama diberikan kepada institusi ini yang belum saya mampu menghafalnya. Pun begitu, suka saya katakan, bersyukur terhadrat Illahi kerana banyak hikmah yang saya dapati sepanjang menuntut disini dan berharap tidak berakhir sampai disini sahaja pembelajaran saya.

Memulakan perjalanan sebagai seorang mahasiswa Ijazah sarjana muda bukanlah semudah yang difikirkan. Bukan kerana sukarnya subjek pembelajaran dan tidak juga sukarnya berurusan dengan pelbagai keadaan disini kerana apabila kita sudah biasa dengan keadaan disini dan mula belajar sikit demi sedikit, dengan izin Allah kita akan lalui dengan mudah apabila sudah terbiasa dengan keadaan disini.

Tetapi apa yang penting apa yang terjadi pada saya dan apa yang saya peroleh sepanjang disini untuk menghadapi dunia luar.

Mungkin sebahagian daripada kita sudah merasakan bahawa dengan mendapat keputusan yang cemerlang sudah memadai untuk menghadapi dunia luar ataupun yang sangat aktif dengan pelbagai aktiviti sama ada anjuran pihak universiti ataupun pihak luar. 

Namun persoalannya, 

Apakah dengan hanya mendapat dekan kita sudah dikira matang ?

Apakah dengan kita bersuka-ria menyertai pelbagai aktiviti hanya untuk kepuasan kita sepanjang menjadi mahasiswa akhirnya tidak mampu membentuk diri kita dengan lebih baik.

Persoalan ini sering kali bermain difikiran saya sepanjang menuntut disini dan mungkin pelbagai persoalan yang banyak yang tidak mampu saya luarkan dalam bentuk tulisan ataupun kata-kata. Apa-apapun tulisan ini bukanlah untuk meluahkan perasaan, cuma sedikit persoalan yang bermain difikiran saya yang hendak saya kongsikan. Semoga Allah memelihara dan memberi petunjuk kepada kita semua.

Sekali-sekala saya melihat gelagat mahasiswa yang pada pandangan saya hanya sekadar mahasiswa yang "read and tell". Membaca dan mengulang kaji pembelajaran, menyiapkan assignment dan akhirnya meluahkan dalam dewan peperiksaan dan mendapat keputusan yang cemerlang tetapi tidak membawa apa-apa perubahan pada diri. Mungkin pengetahuan bertambah, namun ianya menjadi sekadar maklumat yang hanya digunakan apabila tibanya soalan dan selepas itu simpan dalam "hard disk" kepala kita.

Pembelajaran kita tidak membawa kita semakin mendekatkan diri kepada Allah.

Kita hanya belajar sekadar dipinggiran sahaja, langsung tidak membawa perubahan.



Di dalam surah Al-'Alaq ayat 1-10  yang bermaksud :


1.  Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,

2.  Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.

3.  Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,

4.  Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,

5.  Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.

6.  Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas,

7.  Karena dia melihat dirinya serba cukup.

8.  Sesungguhnya Hanya kepada Tuhanmulah kembali(mu).

10.  Seorang hamba ketika mengerjakan shalat



Ayat ini seringkali kita mendengar bahkan boleh saya katakan majoriti kita apabila ditanya apakah surah pertama yang diturunkan, jawapannya ialah Surah Al-'Alaq. Di manakah surah ini diturunkan, jawapnya di Gua Hira', Mekah. Dan seterusnya yang sebahagian daripada kita mengetahui sejarah surah ini.

Namun apa yang saya hendak kongsikan bahawa ini merupakan perintah Allah yang mana mengajar kepada kita untuk menuntut ilmu supaya semakin kembali kepadaNya, yakni kembali kepada segala perintah larangan dan suruhanNya kepada kita. Dalam ayat diatas juga membuatkan saya rasa ibarat dijentik apabila membaca ayat diatas yang mana Allah memberi amaran kepada manusia kerana melampaui batas dan berasa serba cukup, iaitu secara mudahnya rasa pandai.

Allah memberikan peringatkan kepada kita agar mempelajari ilmu bukan membuat kita semakin ego atau semakin tidak takut kepada Allah, tetapi mengajar kepada kita supaya semakin kita belajar, semakin kita dekatkan diri kepada Allah. 

Macam mana hendak dekatkan diri pada Allah ?

Allah memerintahkan kepada kita agar membaca dengan namaNya, iaitu menghadirkan rasa kehambaan kita dalam menuntut ilmu. Seseorang hamba yang belajar mengikut kaedah yang Allah perintahkan akan membuatkan dia semakin faqih. 


Faqih tidak sama dengan menghafal. 


Seseorang yang penuntut yang faqih ialah penuntut yang bukan sahaja cemerlang dalam pembelajarannya, bahkan membuatkan jiwa dia semakin takut dan tunduk kepada Allah, tidak merasa puas menambahkan ilmu . Juga tidak merasa sombong bahkan semakin membentuk akhlaknya sebagai seorang yang dikatakan belajar atau menuntut ilmu dengan murni sekali.

Berlainan pula dengan orang yang hanya menghafal ilmu. Apa yang dia pelajari tidak membawa apa-apa perubahan kepadanya bahkan membuatkan dia semakin jauh daripada Allah. Ilmu yang dipelajari tidak mengikut kaedah yang Allah perintahkan menyebabkan dia ibarat manusia yang "read and tell" , sekadar manusia yang menghafal tetapi tidak mempunyai jiwa kehambaan.


Kesimpulan,

Pembelajaran bukan sekadar mencantikkan slip peperiksaan bahkan bukan sahaja memenuhi sijil anugerah kecermelangan kita tetapi yang penting apakah buah hasilnya sepanjang pembembelajaran kita tidak kira dalam kelas atau melibatkan dalam pelbagai aktiviti namun pastikan kita mendapat hasil daripada apa yang kita pelajari dan apakah hasil yang kita belajar semakin membentuk diri kita menjadi hamba yang sesuai dengan perintah Allah dalam Surah Al-'Alaq diatas, ataupun sebaliknya. 

Mari Merebut Cinta Hakiki

Tuesday, 25 March 2014

Membuat Orang Bersalah

          


       Alhamdulillah, bersyukur terhadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya masih lagi kita bernafas dimuka bumi ini dan juga diberikan peluang untuk bertaubat sebelum nyawa kita diambil oleh Illahi untuk dihitung segala amalan yang teah kita kerjakan didunia ini. Semoga Allah menjemput kita dalam keadaan kita sempat bertaubat dan berada dalam keredhaanNya, InsyaAllah.

BOB( Buat Orang Bersalah ) ialah istilah yang saya dapat daripada VBlog seorang yang tidak asing lagi bagi siapa yang mengikuti perkembangan beliau iaitu MatLufi. Dalam video beliau banyak pelajaran yang saya dapati dan mungkin kebanyakan daripada kita telah lalui sikap sesetengah masyarakat yang suka buat kita bersalah dengan nampak pada mereka tegeruan tapi mungkin tak ramai yang tahu telah mencampakkan perasaan bersalah ini pada diri seseorang dan mungkin memberi impak padanya.

Video Matlufi

 https://www.youtube.com/watch?v=jV5Kefw80M4


Mungkin kita biasa suka membuat orang rasa bersalah dengan anggapan bahawa dia akan mempelajari daripada kesilapannya tanpa kita berfikir dengan waras atau rasional kesan perbuatan kita terhadap seseorang. Tapi hakikatnya kita bukan menegur tetapi membuat dia rasa bersalah dan sebenarnya rasa bersalah ini boleh memberikan impak kepada emosi seseorang menyebabkan tekanan dan datang satu perasaan yang memberikan impak pada dirinya.

Daripada sudut Psikologi pula, secara umumnya ini dipanggil buli emosi dimana buli ini tidak akan memberikan kesan yang negetif pada badan seperti kecederaan namun ia akan memberikan kecederaan yang serius pada jiwa seseorang dan mungkin menyebabkan ianya menjadi tekanan atau terbawa-bawa perasaan dan lebih parah lagi tekanan jiwa atau dendam.

Dalam majalah Anis keluaran Mac 2014 dalam Kolum terakhir majalah ini menarik perhatian saya iaitu kolum celik siber yang bertajuk Buli Siber vs Buli bersemuka. Apa yang menariknya ialah satu kajian oleh CyberSecurity Malaysia, DIGI, dan Kementerian Pelajaran, dalam 9,651 pelajar di 459 sekolah diseluruh negara, satu daripada empat pelajar mengaku pernah menjadi mangsa buli siber dan satu daripada tiga pembulian dilakukan menggunakan Facebook atau blog .

Belum lagi kajian ini dijalankan dikalangan pelajar IPT, orang awam dan sektor pekerjaan dan pada pengamatan saya pelajar IPT mungkin boleh jadi hampir sama bilangan diatas atau lebih. 

Lebih parah lagi jika ada individu yang mencerminkan Islam menggunakan dalil-dalil agama yang mungkin pada secara kasar macam betul mereka baca bagi  "menghentam" orang namun mereka pada hakikatnya tidak mempelajari tafsir ayat-ayat tersebut apakah sebabnya ayat tersebut diturunkan dan bagaimana pula tafsiranya. Belum lagi ada sesetengah ayat didalama Al-Quran membawa makna lebih daripada sau tafsiran.  

Mungkin merasakan itulah hikmah tapi pada hakikatnya hanya membuli emosi orang atau membuat mereka rasa bersalah sahaja.

Ahlak Rasulullah S.A.W.

Suka juga saya ingin kongsikan kuliah yang saya dengar semalam daripada Dr MAZA memalui new.livestream yang mana beliau mengajarkan kitab Riyadatus Solihin yang mana satu hadis mengisahkan seorang sahabat yang bernama Muawiyyah Ibu Hakam R.A. yang mana kisahnya apabila beliau solat berjamaah di masjid Nabi, ada sahabat lain yang bersin dan beliau menjawab bersin tersebut semasa solat. Sahabat lain memandang Muawiyyah Ibu Hakam R.A. membuatkan seperti dia rasa tidak selesa bahkan ada riwayat yang mengatakan dia bertanya semasa solat kenapa mereka memandang dia.

Setelah solat, Muawiyyah Ibu Hakam R.A. menceritakan setelah solat Baginda S.A.W. berpaling padanya namun dengan wajah yang tenang bahkan tidak ada kerukan pada muka baginda membuatkan Muawiyyah Ibu Hakam R.A. semakin sayangkan Nabi kerana baginda menggunakan perkataan yang lunak jauh sekali ada kekasaran pada teguran Baginda S.A.W.

Banyak kisah lain yang mana juga ada Sahabiah( gelaran kepada sahabat wanita ) yang telah melakukan zina dan meminta dia dihukumkan. Apa yang menarik, Baginda berpaling sedangkan pada waktu itu telah disyariatkan hukuman hudud. Namun wanita itu tetap meminta Baginda S.A.W menhukumnya dan Baginda minta dia selesaikan kandungannya sehingga lahirnya anak. Dikatakan sehingga dua tahun setelah selesai penyusuan anaknya dia masih lagi minta baginda menghukumnya dan akhirnya Baginda menunaikan permintaannya.

Semasa hukumun dijalankan, ramai sahabat yang memakin hamun namun baginda menegahnya kerana dia telah bertaubat. Tidak hairanlah siapa yang mengenali akhlak Rasulullah S.A.W semakin sayang bahkan cinta akan baginda melebihi cinta terhadap ada yang berada didunia ini.

   
Kesimpulan,

Elakkan membuat orang rasa bersalah namun pada hakikatnya kita telah membuli emosi mereka dan kena hati-hati, jika apa yang kita lakukan itu satu penyakitan, ingat Allah mengakbulkan doa orang yang dizalimi.

BOB, Buat Orang Bersalah lawanya ialah Hikmah dan hikmah tidak akan datang melainakn dengan mempunyai kebijaksanaan. Didalam satu falsafah yang pensyarah saya katakan sampai sekarang melekat di hati saya ialah kebijaksanaan berdiri atas kebenaran dan sesuatu yang selainnya bukanlah kebijaksanaan, 


Mari Merebut Cinta Hakiki





Sunday, 23 March 2014

Mencipta Masa Hadapan



Alhamdulillah, bersyukur terhadrat illahi kerana dengan limpah kurniaNya masih lagi mampu bernafas dan berjalan dimuka bumi yang menjadi tempat persinggahan kita yang hanya sementara untuk kita mengutip dan mencari keredhaanNya menurut apa yang telah dipandukan olehNya. Mudah-mudahan kita termasuk dikalangan orang yang Allah redhani.

Beberapa hari yang lalu, keputusan SPM telah diumumkan, banyak juga post yang menunjukkan ramai adik-adik yang berjaya dalam keputusan SPM, syabas saya ucapkan dan tidak kurang juga yang tidak mencapai keputusan yang mereka inginkan, InsyaAllah ada rezaki di lain hari.


Apabila saya melihat gelagat adik-adik yang mengambil keputusan SPM, terimbas kembali juga semasa dizaman saya ketika mengambil keputusan SPM. Ada yang meloncat gembira, ada yang biasa-biasa sahaja, dan ada juga yang sedih melihat keputusan mereka yang tidak mencapai seperti yang mereka ingin, InsyaAllah, Allah ingin menganti dan memberi yang lebih baik di masa akan datang.


Kebanyakkan kita yang sebaya atau telah lalui SPM, telah lalui detik-detik yang sama seperti adik-adik yang lalui semasa mengambil keputusan SPM dan mungkin ada dikalangan kita sudah lali dengan suasana ketika mengambil keputusan SPM bahkan menagak apa yang bakal berlaku setiap kali keputusan SPM diumumkan kerana setiap tahun drama yang sama akan dimainkan.


Cuma, apa yang menjadi persoalan saya, adakah kita mencipta masa depan atau menyalin masa depan ?


Jika ingin masuk institusi pendidikan sama ada awam atau swasta, itu sudah menjadi kelaziman sepanjang tahun bahkan jika ingin bekerja terus selepas keputusan pun menjadi kelaziman sepanjang tahun.


Namun, apa yang saya lihat, tak ramai ingin mencipta masa depan....
Kita ibarat satu mesin yang kehilangan jiwa atau ruh.


Kita mungkin bangga mencapai matlamat kita, namun kita tidak akan mencipta masa depan selagi mana masa depan kita bukan mengikut acuan yang digariskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Jika acuan kita tidak mengikut Al-Quran dan As-Sunnah, kita hanya ibarat mesin sahaja, hilang rasa peduli akan agama dan tidak mengambil kira kita ini telah mengikut apa yang Allah pandukan. 

Kita mungkin hebat dan apa jua bidang
Kita mungkin telah bangkit daripada kegagalan yang mana kita gagal daripada satu bidang yang kita ceburi.


Tetapi...

apa maknanya jika kejayaan yang kita kecapi tanpa pedoman hidup ?



Kita hanya menyalin hidup manusia biasa sahaja yang bukan mencipta masa depan, tetapi menyalin masa depan orang lain .

Muslim yang megikut apa yang Allah perintahkan sepenuhnya bukan sahaja mampu mencipta masa depan, bahkan mempu mengubah masa ke arah yang lebih baik.

.Namun...jika muslim itu tidak mengendahkan perintah Allah, kita hanya menyalin sahaja masa depan tanpa mencipta bahkan jauh sekali mengubah masa depan kearah yang lebih baik kerana kita hanya menyalin, bukan mencipta.

Jadilah jiwa yang mencipta masa depan kerana dengan hanya mencipta masa depan, kita mampu mengubah ke arah yang lebih baik sedikit sebanyak sekalipun daripada kita menyalin masa depan yang telah ditaman dalam fikiran kita yang hanya mementingkan diri tanpa peduli keadaan dan masa depan muslim .

Mari merebut cinta hakiki.



Saturday, 25 January 2014

Menjadi Insan Permata



           Bersyukur terhadrat Illahi dengan limpah kurnaNya masih lagi kita diberikan peluang untuk bernafas dimuka bumi untuk meneruskan perjalanan sebagai seorang insan untuk mencari keredhaanNya walaupun kadang-kala kita tersilap melakukan kesilapan terhadap saudara kita sendiri dalam mencari keredhaanNya,semoga Allah merahmati dan mengampuni kita atas kesilapan yang kita lakukan dan semoga diberi peluang untuk memperbaiki sebelum kita pulang menghadapNya.

Telah dikejutkan kita perginya seorang dai'e yang tidak asing lagi bagi sesiapa yang sering mengikut beliau dan juga bagi sesiapa yang tidak jemu menadah dan mencatat segala ilmu yang beliau sampaikan sebagai pedoman untuk menghadapi kehidupan. Semoga Allah merahmati dan mencucuri beliau. 


Allahyarham Tuan Guru Ustaz Harun Taib

Seorang ulama' yang menjalankan tugasnya dengan jujur dan ikhlas adalah ibarah permata yang semakin lama semakin bernilai, semakin lama semakin dicari kerana nilai ilmu yang ada padanya dan juga kejujurannya dalam menyampaikan ilmu menyebabkan dia semakin dicari dan semakin bernilai. Teringat saya satu kata-kata seorang insan, jika kita melahirkan seorang penjahatm kita memerlukan sepuluh orang polis untuk menjaganya, jika kita melahiran seorang ilmuan, dia akan menjaga satu masyarakat.


Menjadi insan permata





Permata tidak memilih pemilik, tetapi pemilik yang memilih permata


Menjadi insan permata, perlukan kesungguhan dalam mengubah masyarakat.

Tidak kira siapapun kita, pelajar, guru, ahli akedemik , peniaga dan pelbagai lagi

Selagimana kita ada usaha untuk menbawa kebaikan kepada masyarakat terutama dalam pembentukan modal insan

InsyaAllah, kita adalah permata di sisi Allah jika kita buat dengan penuh kesungguhan, keikhlasan serta sentiasa memohon agar kita berada dilandasan yang benar

Hasilnya mungkin kita tidak sempat merasai atau melihat, tetapi mungkin generasi akan datang akan merasai hasil usaha kita.

Ringkasnya semua orang mampu menjadi permata selagimana dia mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. 



Mari merebut Cinta Hakiki

Wednesday, 1 January 2014

Semoga tahun ini lebih baik daripada sebelumnya


      Bersyukur terhadrat Allah kerana dengan limpah kurniaNya masih lagi diberikan peluang untuk bernafas di muka bumiNya ini yang pernuh dengan limpahan Rahmat dan Nikmat yang tidak terhingga. Setiap insan tidak mendapat nikmat yang sama kuantitinya kerana ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang sederhana sahaja tetapi apa yang membuatkan insan ini kaya ialah apabila timbul rasa syukur terhadap nikmat yang diperolehinya. Islam telah mengajar umatnya agar sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang diperolahinya dengan sentiasa meningkatkan usaha kearah yang semakin berkualiti, tidak sombong, sentiasa membantu sesama masyarakat semampu yang boleh dan banyak lagi kebaikkan yang boleh diberi.

Pertama sekali, saya ucapkan Selamat Menempuhi Tahun Baru kepada semua pembaca-pembaca blog saya ini dan memohon maaf disebabkan tidak mampu istiqamah pada tahun yang lalu dengan tidak post selama dua bulan akibat kekeringan isi yang hendak disampaikan. :)



Berdasarkan link yang saya berikan diatas, mungkin isu ini boleh dikatakan lapuk di dalam kalangan masyarakat kita. Boleh dikatakan setiap sambutan yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan keesokkan pasti terpapar di dada media isu tersebut. Semakin lama semakin menjadi-jadi dan apa yang menjadi kerisauan saya yang ingin dikongsikan kepada sahabat sekalian bimbang jika yang terlibat itu insan yang mempunyai hubungan keluarga atau yang menjadi sahabat atapun kenalan kita yang terlibat dalam hal diatas. Semoga Allah memelihara kita semua dan insan disekeliling kita.


Persoalan yang sentiasa bermain difikiran saya apabila melihat kes ini dan seumpamanya :


Perlukah kita melakukan hubungan secara haram setiap kali ada pesta ?

Adakah dengan melakukan hubungan secara haram menunjukkan kasih dan taat setia pada pasangan?

Sukakah kita apabila melihat hal-hal ini sentiasa berlaku dalam masyarakat kita saban hari ?

Terlalu murahkan maruah kita untuk digadaikan kepada seseorang yang tidak memikul dosa kita ?

dan pelbagai persoalan yang mungkin akan timbul pada masa akan datang.



Dalam Al-Quran, Allah telah memberikan peringatan kepada kita semua, baik lelaki mahupun perempuan dalam suran An-Nur ayat 30 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."


Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."


Sama-sama kita muhasabah dan mengambil iktibar dalam hal ini. 

Semoga Allah memelihara kita dan bersama-sama menangani hal ini agar dapat melahirkan generasi yang lebih bermaruah dan memelihara diri daripada perbuatan yang mengundang musibah.


Muslim Sejati Pencetus Ummah 

Wednesday, 30 October 2013

"Teamwork", bukan bermakna kemahiran mesti sama



        Alhamdulillah, bersyukur terhadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya masih lagi kita diberikan peluang untuk bernafas di muka bumi yang sangat indah dengan pelbagai ciptaanNya yang banyak mengandungi pelbagai hikmah serta menunjukkan luasnya ilmu dan kekuasaanNya dalam mencipta dan mentadbir dunia ini yang begitu indah dan sangat tersusun.  Mudah-mudahan Allah memasukkan kita dalam golongan yang diredhaiNya, InsyaAllah.

"Teamwork" atau kerja kumpulan semestinya tidak terasing lagi bagi sesiapa sahaja yang aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sama ada belajar berkumpulan, aktiviti sukan, usrah, dan pelbagai lagi aktiviti yang melibatkan kerjasama antara ahli sama ada fomal atau non-formal. Walauapapun, asalkan kita melaksanakan aktiviti secara berkumpulan kerana Islam sangat menggalakkan umatnya melakukan pekerjaan secara berjamaah.  

Dalam hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud " Daripada Ibn Abbas R.A., Nabi S.A.W. bersabda: " Pertolongan Allah bersama jemaah " ( Riyawat Al-Tirmizi).

"Teamwork" atau kerja berkumpulan adalah bertujuan untuk saling lengkap melengkapi sesama ahli dalam melaksanakan seseuatu pekerjaan kerana antara wujud kerja kumpulan atau " Teamwork" adalah kerana setiap orang mempunyai kemahiran yang berbeza apabila ingin melaksanakan sesuatu perkerjaan. Jika semua mempunyai kemahiran yang sama, atau kemampuan yang sama taraf, sesebuah kumpulan kerja akan kurang berkesan jika semua ahli mempunyai kemahiran yang sama dalam melaksanakan kerja.

Sebagai contoh, kerjasama kumpulan untuk membangunkan sebuah pondok rehat. Dalam kumpulan tersebut mestilah tidak semua tahu memilih bahan yang sesuai sahaja dalam membuat pondok rehat, pastinya ada yang berkemahiran menukang, mempunyai kemahiran mengecat dan memilih kualiti cat, kawasan yang sesuai dan pelbagai lagi. Jika semua ini saling lengkap melengkapi, pasti akan menghasilkan pondok rehat yang berkualiti.

Jika kita meninjau kembali semasa zaman Rasulullah S.A.W., baginda tidak spesifikan setiap sahabat supaya mempunyai kemahiran yang sama dalam berdakwah kerana Islam bukan agama yang menetapkan manusia mempunyai "skill" yang sama dalam mengamalkan Islam tetapi memandu manusia dengan "skill" yang masing-masing dengan cara yang diredhai Allah. Ada sahabat yang berdakwah dengan cara menyampaikan ilmu, ada sahabat menyampaikan dengan jalan jihad, ada yang menyampaikan dengan cara perniagaan, dan pelbagai lagi. Kesemua kemahiran ini digabungkan dalam konteks "Teamwork" menyampaikan dakwah Islam dan akhirnya Islam tersebar dengan pantas di pelusuk dunia.

Dalam konteks dakwah tidak semata-mata kita mesti menetapkan bahawa menyampaikan Islam dengan hanya memberi ceramah atau tazkirah semata-mata. Islam juga boleh disampaikan dengan pelbagai "skill" yang ada seperti keperibadian, pergaulan, hatta teknologi yang sedia ada boleh juga dijadikan sebagai medium dalam menyampaikan dakwah seperti membuat photoshop, blog, video, dan pelbagai lagi boleh digunakan mengikut kemahiran dan kesemua ini digabungkan dalam konteks "Teamwork" untuk menyebarkan risalah Islam.

Islam, bukan agama yang menetap setiap individu dengan kemahiran yang sama, tetapi memandu setiap individu yang mempunyai "skill"  tersendiri mengikut syarak dan menggabungkan kesemua ini menjadi "Teamwork" dalam menyebarkan dakwah sama ada secara langsung atau tidak langsung. 

Mukmin Sejati merebut Cinta Hakiki


Sunday, 29 September 2013

Indahnya ditutup



Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat Illah kerana dengan limpah kurna RahmatNya masih lagi dapat kita bernafas di muka bumi ini dengan nikmat yang dikurniakan olehNya yang tidak terhingga, mudah-mudahan kita termasuk dikalangan hambaNya yang sentiasa mendapat keampunan dan hidayah agar kita tetap berada dalam landasan yang sentiasa diredha olehNya, InsyaAllah.

Firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."


Satu kisah yang ringkas namun sangat bermanfaat untuk kita semua sama-sama renungkan, kisah ini mengisahkan seorang Imam yang cukup terkenal dalam Imam-Iman Mazhab iaitu Imam Ahmad bin Hambal yang mana semasa beliau sedang mengangkat barangnya di pasar, ramai orang secara sukarela ingin membantu Imam Ahmad kerana kesian dan menghormatinya kerana dia adalah Imam yang sangat terkenal. Namun apa yang berlaku sebaliknya, Imam Ahmad menangis apabila ramai orang ingin menolongnya kerana dia terkenal. Orang ramai kehairanan lalu bertanya kepada Imam Ahmad, lalu Imam Ahmad menjawab jika orang tahu akan keaibannya, nescaya orang ramai akan mengambil pasir lalu meletakkan dikepalanya.


Maha Suci Allah,

Seorang Imam yang sangat warak lagi berilmu tidak sedikitpun merasakan gelaran yang diberikan oleh manusia merubah dirinya menjadi sombong namun sebaliknya semakin menjadikan dirinya semakin zuhud dan semakin merendah diri. Imam Ahmad seorang yang sangat sedikit keburukannya bahkan amat sukar mencari kesalahannya tetap berasa sangat malu apabila orang ramai memujinya kerana hanya Allah dan dia tahu akan dirinya sahaja.


Agak-agak kita kalau dipuji sedikit macam mana rasanya ?

Hebatnya kita bukan kerana kita hebat
Hebatnya kita kerana Allah menutup aib kita dihadapan manusia lain

Kerana diantara nikmat yang terbesar yang Allah kurniakan kepada hambaNya ialah nikmat manusia lain tidak mengetahui keaiban kita.

Bayangkan jika setiap orang kita jumpa mengetahui keaiban kita, sudah tentu kita menjadi tidak tentu hala.

Mana tidaknya, 

Kita hilang kepercayaan orang  terhadap diri kita,
Hati menjadi tidak tenteram
Dan pelbagai lagi kita rasa dan tidak selesa disebabkan semua orang tahu akan keburukan diri kita.

Semoga kita dipelihara dan dimasukan ke dalam hamba yang diredhaiNya

InsyaAllah

Mukmin sejati merebut cinta hakiki

Sunday, 25 August 2013

Hidayah Itu Pilihan






BismillahiRahmanniRahim

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat illahi dengan limpah rahmat dan kasih sayangnya, Ar-Rahman, dapat lagi kita bernafas di muka bumi Allah S..W.T. yang merupakan destinasi yang diberi pelbagai ujian bagi membuktikan sejauhmanakah seseorang hamba itu benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Mudah-Mudahan kita termasuk dalam kalangan hamba Allah yang Allah memberikan keampunan dan rahmatNya, InsyaAllah.

Hidayah, ialah satu makna didalam Islam yang membawa maksud cahaya yang memberi petunjuk kepada seseorang hamba daripada seseorang hamba itu daripada seorang yang jahat kepada yang baik, atau kepada yang baik kepada lebih baik lagi. Menjadi impian seseorang hamba yang sedar akan kesilapannya apabila ingat bertaubat mengharapkan hidayah daripada Allah agar dia terselamat daripada kemurkaan Allah S.W.T.

Sering kali biasa kita mendengar atau membaca beberapa kisah didalam Islam seseorang hamba yang bertaubat maka Allah mengampuninya lalu Allah memasukkan dia ke dalam syurga seperti kisah lelaki yang membunuh seratus orang dan apabila dia bertemu dengan seorang yang alim lalu orang alim tersebut menyarakan agar dia berpindah ke negeri lain dan dia meninggal dalam perjalanan. Apabila malaikat berselisih untuk memutuskan dia sama ada ingin memasukkan dia ke dalam syurga atau ke neraka, maka Allah memerintahkan agar diukur jarak tempat dia ingin berhijrah dengan tempat asalnya. Maha Suci Allah apabila ternyata tempat yang dia ingin berhijrah lebih dekat lalu dia dimasukkan ke dalam syurga.

Lihatlah, betapa luasnya kasih sayang Allah, hamba itu baru sahaja dalam usaha berhijrah sudah mendapat tempat di dalam syurga, mudah-mudahan kita juga yang sedang berusaha ini termasuk dalam kalangan tersebut.


Namun, persoalan atau biasa yang kita dengar

Adakah hidayah itu datang macam itu sahaja?

Hati saya belum lagi terbuka untuk menerima hidayah

Adakah Allah memilih hamba yang Dia rasa ingin memilih sahaja ?


Dan beberapa persoalan lagi yang sering kita lihat atau  mengalaminya.

Kita lihat analogi makanan

Apabila makanan sudah dihidangkan, 

Pertama sekali  apa yang diperlukan ialah rasa lapar

Yang kedua ialah mencari makanan

Ketiga,perlu ketahui dan memastikan apa yang dihidangkan itu ialah makanan yang boleh dimakan,

Keempat, sudah tentu kita akan merujuk kepada selera kita pula, adakah makanan itu menepati selera kita?

Kelima, kita memilih sama ada untuk makan atau menolak


Begitulah juga dengan Hidayah.

Hidayah tidak akan hadir dalam seseorang tanpa kesedaran

Hidayah tidak akan hadir jika kita tidak berusaha

Hidayah tidak akan dapat dikenali melainkan dengan ilmu

Hidayah tidak akan dapat diterima jika kita masih lagi memilih untuk mengikuti nafsu yang dipandu oleh syaitan.

Hidayah itu merupakan pilihan.


Kita lihat kisah diatas, apabila hamba Allah tersebut ingin bertaubat, sudah tentu dia tahu apa yang dia lakukan ialah suatu kesalahan. 

Yang kedua ialah wujud kesedaran ingin berubah, 

Yang ketiga ialah bermujahadah dengan mencari ilmu kerana dia ingin mengetahui  adakah dia masih boleh bertaubat dan dengan takdir Allah akhirnya dia bertemu dengan orang alim dan mengetahui bahawa Allah masih mengampuni hambanya walaupun sebesar mana dosanya, tetapi jika dia ingin bertaubat, maka Allah tetap mengampuninya.

Yang keempat ialah dia memilih untuk bertaubat dengan mengikut saranan orang alim tersebut.


Allah tidak akan menzalimi hambaNya melainkan hambaNya menzalimi diri sendiri. Hidayah itu pilihan kita, Allah sentiasa mengampuni hambaNya yang ikhlas bertaubat dan berusaha untuk bertaubat.

Mukmin Sejati Mencari Cinta Hakiki


Tuesday, 30 July 2013

Impak Lailatulqadar



BismillahIRahmanniRahim,

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi,

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,

Bersyukur terhadrat Allah kerana telah diberikan kesempatan untuk hidup didalam bulan yang mulia ini dan hidup sebagai seorang muslim yang mana telah menjadi impian setiap muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul untuk bertemu dengan bulan yang mulia ini, iaitu Bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mana bulan ini pelbagai peristiwa yang sepatutnya semua peristiwa tersebut kita mengambil tahu seperti peristiwa Perang Badar dan malam lailiatuqadar.

Telah menjadi impian umat Islam dimuka bumi Allah ini untuk bertemu dengan malam yang sangat mulia yang disebut sebagai malam Lailatulqadar atau nama yang lebih tepat malam Al-Qadar kerana maksud "Laila" ialah malam tetapi menjadi kebiasaan masyarakat kita menyebut malam Lailatulqadar, tak mengapa, kita raikan.

Diantara peristiwa penting Lailatulqadar ialah penurunan Al-Quran daripada Luh Al-Mahfuz ke Bait Al-Izzah(langit dunia) dan kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W. selama 23 tahun secara berperingkat-peringkat.

Juga, apabila tiba sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, kita sangat dituntut membuat ibadat sekuat dan semampu yang boleh kerana ganjaran pada Lailatuqadar adalah sangat besar dan ianya juga keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada umat Rasullullah S.A.W.

Namun, adakah kita pernah berfikir bahawa kenapa kita digalakkan beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Lailatuqadar yang adanya berlaku penurunan Al-Quran yang mana ia merupakan satu mukjzat yang sangat agung kepada umat Islam pada akhir zaman. Pernahkan terlintas difikiran kita apakah intipati yang ingin disampaikan oleh Lailatulqadar, walaupun pada hakikatnya Allah sahaja yang mengetahui, namun kita juga sangat dituntut untuk berfikir setiap apa yang berlaku terutama dalam hal-hal seperti ini.

Apabila tiba sepuluh malam terakhir, sepatutnya dengan momentum ibadat yang kita lakukan pada sepuluh malam terakhir ini, sepatutnya mampu menjadikan kita semakin mendekati kepada Allah, tetapi jika tiada hasilnya walha kita hampir sama sahaja pada bulan-bulan lain, bermakna kita hanya sekadar beribadat letih dibadan tetapi intipatinya diabaikan.

Lailatulqadar bukan sekadar malam yang penting untuk kita meningkatkan ibadat semata-mata, namun intipatinya dan hikmahnya juga jangan lupa dicari kerana Islam bukan hanya agama ritual semata-mata, malah ianya agama yang mengajak umatnya berfikir dan mencari hikmah yang tersembunyi kerana dengan itu kita akan melakukan ibadat yang memberi impak yang positif pada jiwa kita, bukan sekadar ibadat yang menjadi adat semata-mata. Wallahua'lam.

Mukmin sejati mencari cinta hakiki.




Saturday, 29 June 2013

Ramadhan, mengasah ketaqwaan muslim.

BismillahhiRahmaniRahim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Menyayangi

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat Illah dengan izinNya mampu bernafas di muka bumi ini yang mana ianya merupakan satu persinggahan buat semua manusia yang mana ia merupakan satu ujian bagi setiap insan yang wajib dilalui setelah dia melepasi alam rahim dan lahirnya ke dunia ini akan menerima ujian daripada penciptaNya untuk melihat dan menilai sama ada hambaNya ini di kemuncaknya akan berada di syurga ataupun di neraka dan mudah-mudahan Allah selamatkan kita dan memasukkan kita semua ke dalam syurgaNya yang penuh Rahmat dan Nikmat yang tidak ada tolak bandingannya lagi, Insya-Allah.

Sedang kita semua sibuk dengan urusan harian kita, tidak kira yang bekerja, atapun belajar ataupun kedua-duanya sama ada sedar atau tidak kita telah hampir dikunjungi oleh satu tetamu yang istimewa yang mana semua kaum muslimin sangat gembira bahkan ianya juga merupakan tetamu yang sangat dibenci oleh syaitan dan para pengikutnya iaitu ramadhan.

Ramadhan ialah satu bulan yang sangat istimewa kerana dalam bulan tersebut terdapat satu malam yang dipanggil malam lailatul Qadar yang mana ia merupakan satu malam yang semua kaum muslimin mencari-cari bahkan ada yang bermati-matian beribadat sepanjang bulan ramadhan kerana ingin bertemu malam istimewa ini yang hanya Allah pilih sahaja hambanya yang layak bertemu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui bila waktu dan malam akan beralaku malam lailatu Qadar.

Apabila tibanya bulan Ramadhan, Insya-Allah, ramai diantara kita yang sedia maklum bahkan sudah masak diingatan kita banyak kelebihan-kelebihan bulan ramadhan sehinggakan budak kecil pun tidak sabar menunggu bulan ramadhan, bulan mulia ini dan diantara selain malam lailatul Qadar, ganjaran pahala juga dilipat gandakan oleh Allah kepada hambanya kerana bulan ini juga menguji sejauh manakah mereka merasakan Allah Maha Melihat akan segala perbuatan mereka.

Antara sebab bulan ialah bulan yang mana Allah melipat gandakan ganjaran pahala ialah diantaranya ialah sejaumanakan rasa diri kita sentiasa Allah perhatikan. Kita mungkin ambil kisah dan ada rasa malu kerana bulan ini secara umumnya muslim akan menahan makan dan minum bermula waktu fajar sehingga masuknya waktu maghrib dan sebanyakkan bab menahan makan dan minum ini ramai yang ambil kisah sehinggakan ada kalangan kita sanggup check bilik sahabat kita adakah dia berpuasa atau tidak.

Namun ada sesuatu yang biasa kita tidak ambil kisah apabila tiba ramadhan bahkan kita kelihatan sama sahaja sebelum, semasa, dan selepas ramadhan dan mungkin kalau rajin sikit amalkan puasa sunat, Alhamdulillah. Tetapi yang mesti kita ambil berat apa yang Allah ingin mengajar kepada kita ialah sifat Taqwa sepanjang Ramadhan ini.

Kita semua kebanyakkan biasa dengar perbualan Saidina Umar Al-Khattab R.A. dengan Abu Hurairah R.A. akan pertanyaan Saidina Umar Al-Khattab berkenaan makna Taqwa dan Abu Hurairah R.A. memberi perumpamaan bahaya taqwa itu diibaratkan kita sedang berjalan pada satu jalan yang penuh duri apa akan kita lakukan dan Saidina Umar menjawab sudah tentu kita akan berhati-hati semasa berjalan, dan Abu Hurairah menjawab itulah taqwa. Taqwa dengan kata lain ialah kita sentiasa berhati-hati dalam perbuatan kita bukan kerana jumud tetapi ingin memastikan kita melakukan seiring dengan syariat Islam.

Banyak perbuatan kita yang kita jaga semasa ramadhan tetapi ada juga yang terlepas pandang. Sebagai contoh semasa ramdhan kita biasa jaga mulut kita daripada menyuapkan sesuatu yang membatalkan puasa, namun kita lupa kita setiap hari menyuap mulut kita dengan makan darah daging saudara kita sendiri iaitu mengumpat dan menfitnah.

Kita juga menahan tangan kita daripada mengambil makanan untuk makan namun tidak lupa untuk melatih  tangan kita daripada membazir dibulan mulia ini dan seterusnya.

Kita menahan mata kita daripada melihat aurat ajnabi namun kita lupa untuk melatih mata kita supaya menundukkan pandangan. Satu makna yang berbeza, menahan tidak mampu menahan selama-lamanya namun menunduk bererti kita mengawal dengan hati yang penuh rasa malu kerana hati ini diresapi Iman dan Taqwa. Bak kata orang dari mata turun ke hati. Apabila mata dilatih dengan Iman dan Taqwa, maka yang akan sampai ke hati ialah Iman dan Taqwa, InsyaAllah.

 Dan pelbagai lagi yang biasa kita dengar tetapi kita tidak ambil berat.

Ramai mampu melatih untuk lapar tetapi ramai yang tidak melatih diri untuk merasakan kewujudan Allah yang Maha Agung sedang melihat segala perbuatan hambaNya. Iman dan Taqwa perlu menjalani latihan, kadang-kala ianya memerlukan sedikit pengorbanan kerana nilainya sangat mahal dan apabila seseorang itu merasakan nikmat kehadirannya, nyawa sekali pun sanggup dikorbankan.

Sebaik-baik pakaian seseorang muslim itu ialah taqwa iaitu sentiasa berhati-hati dalam semua aspek , pakaian, percakapan, fikiran, dan lain-lain lagi yang mencorak keperibadian seseorang muslim yang indah.

Mudah-mudahan, kita lalui bulan mulia ini sebagai latihan kita untuk meningkatkan ketaqwaan selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah agar kita menjadi hamba yang bertaqwa dan tergolong dalam golongan yang mendapat rahmatNya, InsyaAllah.

Mukim sejati merebut cinta Hakiki. 





Friday, 31 May 2013

Kebahagian itu tidak spesifik








 Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Menyayangi

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat Illahi kerana masih lagi diberikan peluang untuk bernafas diatas muka bumi ini yang penuh nikmat dan tidak juga kurang dugaan yang sememangnya kita diberi untuk menguji kita sama ada menjadi seorang hamba yang beriman dengan sebenar-benar Iman. Mudah-mudahan kita tergolong dalam  hamba yang sebenar-benar Iman, bukan menjadi hamba yang beriman pada zahir sahaja, jauh sekali bukan pada zahir malah pada hatinya hilang keimanan.

Kita sering kali dengar perkataan sakinah, kebahagian, dan seumpamanya lagi yang menunjukkan bahawa seseorang insan itu berada dalam keadaan bahagia.

Ada yang kata apabila kita mendapat harta yang mewah dikira bahagia.

Ada yang mengatakan bilamana kita mendapat jodoh yang kita suka dikira bahagia.

Ada juga yang mengatakan  kita menjadi seseorang yang cemerlang dikira bahagia.


Pelbagai lagi kebahagian yang disebut sehinggakan tidak mampu hendak diungkapkan kebahagiaan apabila dia mendapat sesuatu yang bahagia baginya.
Ini adalah normal jika mendapat  sesuai yang baik dikira sebagai kebahagiaan.

Namun ada juga bilamana merasakan bahagia bilamana dia melakukan dosa yang terang-terang salah disisi syarak bahkan juga dari segi nilai kemanusiaan dan moral.

Merasa bahagian bilamana dia menindas orang lain.

Merasa bahagia bilamana dia membuat penipuan.

Merasa bahagia bilamana dia melanggar perintah Allah yang terang-terang jelas ianya salah.

Merasa bahagia bilamana dia melakukan perbuatan yang tidak bermoral yang terang-terang salah disisi agama sama ada khalayak umum mahupun secara sembunyi.

Dan pelbagai lagi

Nauzubillah,

Mohonlah kepada Allah agar kita tidak tergolong didalam golongan yang kebahagiaan itu dengan melakukan dosa-dosa kerana pada masa itu nilai Iman dia telah rosak. Hanya Rahmat dan Hidayah Allah sahaja yang mampu meyelamatkan mereka yang berada didalam golongan ini.

Hakikatnya, kebahagian itu tidak spesifik bagi setiap insan. Setiap insan lain kebahagiannya yang dia rasa. Namum untuk menerima kebahagiaan itu juga mesti bergantung pada nilai dan tahap Iman yang berada didalam sanubari setiap insan.

Jika insan itu mempunyai hati yang baik lagi disinari oleh Nur Iman, InsyaAllah, kebahagian yang datang kepadanya juga merupakan kebahagiaan yang baik.

Jika insan itu mempunyai hati yang tidak baik lagi kurang sinaran Nur Iman, kebahagiaan yang datang juga kebahagian yang tidak baik walaupun pada pandangannya ianya baik.

Mohonlah kepada Allah agar diberikan kebahagian yang sebenar-benar lagi diredhaiNya kerana hati Insan sebenarnya dari lubuk hatinya mengenal kebahagiaan yang sebenar.

Mukmin sejati mencari cinta hakiki

Friday, 17 May 2013

Nilai Seorang Guru

BismillahiRahmanniRahim




Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah,bersyukur terhadrat Illahi kerana masih lagi diberi peluang untuk bernafas dimuka bumi ini yang mana hakikatnya tempat persinggahan sementara untuk kita mengumpul seberapa banyak bekalan untuk kita gunakan pada perjalanan akan datang setelah selesai tempoh kita menetap di tempat yang sementara ini. Semoga kita dipelihara dan sentiasa berada dibawah payang RahmatNya,InsyaAllah.

Semalam 16 mei 2013 ,merupakan hari guru yang mana merupakan satu hari yang telah menjadi kebiasaan kita di Malaysia ini menyambut hari tersebut sebagai satu hari yang khas untuk kita menghargai guru kita yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga bagi mendidik anak didiknya agar menjadi seorang insan yang berjaya,lebih-lebih lagi sebagai muslim,ingin berjaya didunia dan diakhirat.

Pada tahun ini merupakan tahun ketiga,semestar enam sebagai seorang mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris ,Tanjung Malim,Perak yang mana sedang menjalani pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematiksebagai medan yang ingin saya terjun dalam masyarakat dan ingin membuktikan bahawa bukan hanya guru pendidikan Islam sahaja mampu berdakwah,namun guru selain pendidikan Islam juga mampu berdakwah dan memainkan peranan kepada masyarakat dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat.


 Ke'hangatan' menjadi guru kian terasa pada semestar ini kerana banyak kerja yang perlu dilaksanan


Rancangan Pengajaran Harian

Bahan Bantu Mengajar

dan pelbagai lagi persiapan kena laksanakan yang mana ada kala tiba-tiba saja sebab baru teringat disebabkan terlupa dalam proses merancang.

Subahanallah...






Banyaknya tugas seorang guru sebelum memulakan pengajaran

Semasa pengajaran lagi,ketangkasan sangat perlu kerana ada kala apa yang kita rancang tidak semua menjadi

MasyaAllah....

Belum lagi dalam membentuk masyarakat.

Besarnya tugas seorang guru


Kerana guru bukan sahaja kena mengajar sebagai guru dalam bidang yang ditugaskan kepadanya 


Malah peranan guru lebih lagi,


Terutama dalam membentuk masyarakat

Teringat sebuah Hadis yang mana apabila matinya anak Adam,hanya tiga perkara sahaja dibawa bersama

Sedekah Jahiriah

Ilmu yang bermanfaat

Dan doa anak soleh.


Subahanallah...


Besarnya harga seorang guru

Kerana apabila ilmu yang disampaikan sangat bermanfaat,lebih-lebih lagi jika ilmu itu membentuk masyarakat yang selari dengan kehendak Islam,itulah antara sahamnya di akhirat kelak.


Sebab itulah Islam sangat melarang umatnya melawan guru kerana darjat seseorang guru sangat tinggi disisi Allah selagi mana guru tersebut tidak melakukan apa yang dilarang oleh Islam.



Mungkin kita mampu dapat keputusan yang cemerlang

Mungkin kita juga mampu jadi orang yang hebat

Namun,keberkatan itu tiada

Apabila keberkatan itu tiada,apa guna kita jadi apa sekalipun yang hebat kerana mungkin disebalik kehebatan itu Allah balas dengan pelbagai yang tidak menyenangkan kita akibat perbuatan kita menyakiti guru.


Secara kesimpulan,apabila kita letakkan diri kita ditempat guru,baru kita sedar bahawa bukan senang seperti yang kita lihat. Hormatilah guru dan semoga segala kebaikan yang mereka ajar kepada kita kita gunakan sebaiknya agar kita tidak menjadi manusia yang sia-sia dan dicela disisi Agama. Apabila kita menjadi seorang yang berguna dan mampu membawa kebaika kepada Agama dan masyarakat,mudah-mudahan itu sebagai tanda ilmu yang kita pelajari diberkati dan semoga Allah melimpahkan segala RahmatNya kepada insan yang bergelar guru ini.

InsyaAllah.


Mukmin sejati merebut cinta Illahi