Saturday, 25 January 2014

Menjadi Insan Permata



           Bersyukur terhadrat Illahi dengan limpah kurnaNya masih lagi kita diberikan peluang untuk bernafas dimuka bumi untuk meneruskan perjalanan sebagai seorang insan untuk mencari keredhaanNya walaupun kadang-kala kita tersilap melakukan kesilapan terhadap saudara kita sendiri dalam mencari keredhaanNya,semoga Allah merahmati dan mengampuni kita atas kesilapan yang kita lakukan dan semoga diberi peluang untuk memperbaiki sebelum kita pulang menghadapNya.

Telah dikejutkan kita perginya seorang dai'e yang tidak asing lagi bagi sesiapa yang sering mengikut beliau dan juga bagi sesiapa yang tidak jemu menadah dan mencatat segala ilmu yang beliau sampaikan sebagai pedoman untuk menghadapi kehidupan. Semoga Allah merahmati dan mencucuri beliau. 


Allahyarham Tuan Guru Ustaz Harun Taib

Seorang ulama' yang menjalankan tugasnya dengan jujur dan ikhlas adalah ibarah permata yang semakin lama semakin bernilai, semakin lama semakin dicari kerana nilai ilmu yang ada padanya dan juga kejujurannya dalam menyampaikan ilmu menyebabkan dia semakin dicari dan semakin bernilai. Teringat saya satu kata-kata seorang insan, jika kita melahirkan seorang penjahatm kita memerlukan sepuluh orang polis untuk menjaganya, jika kita melahiran seorang ilmuan, dia akan menjaga satu masyarakat.


Menjadi insan permata





Permata tidak memilih pemilik, tetapi pemilik yang memilih permata


Menjadi insan permata, perlukan kesungguhan dalam mengubah masyarakat.

Tidak kira siapapun kita, pelajar, guru, ahli akedemik , peniaga dan pelbagai lagi

Selagimana kita ada usaha untuk menbawa kebaikan kepada masyarakat terutama dalam pembentukan modal insan

InsyaAllah, kita adalah permata di sisi Allah jika kita buat dengan penuh kesungguhan, keikhlasan serta sentiasa memohon agar kita berada dilandasan yang benar

Hasilnya mungkin kita tidak sempat merasai atau melihat, tetapi mungkin generasi akan datang akan merasai hasil usaha kita.

Ringkasnya semua orang mampu menjadi permata selagimana dia mampu memberikan manfaat kepada masyarakat. 



Mari merebut Cinta Hakiki

Wednesday, 1 January 2014

Semoga tahun ini lebih baik daripada sebelumnya


      Bersyukur terhadrat Allah kerana dengan limpah kurniaNya masih lagi diberikan peluang untuk bernafas di muka bumiNya ini yang pernuh dengan limpahan Rahmat dan Nikmat yang tidak terhingga. Setiap insan tidak mendapat nikmat yang sama kuantitinya kerana ada yang kaya, ada yang miskin, ada yang sederhana sahaja tetapi apa yang membuatkan insan ini kaya ialah apabila timbul rasa syukur terhadap nikmat yang diperolehinya. Islam telah mengajar umatnya agar sentiasa bersyukur terhadap nikmat yang diperolahinya dengan sentiasa meningkatkan usaha kearah yang semakin berkualiti, tidak sombong, sentiasa membantu sesama masyarakat semampu yang boleh dan banyak lagi kebaikkan yang boleh diberi.

Pertama sekali, saya ucapkan Selamat Menempuhi Tahun Baru kepada semua pembaca-pembaca blog saya ini dan memohon maaf disebabkan tidak mampu istiqamah pada tahun yang lalu dengan tidak post selama dua bulan akibat kekeringan isi yang hendak disampaikan. :)



Berdasarkan link yang saya berikan diatas, mungkin isu ini boleh dikatakan lapuk di dalam kalangan masyarakat kita. Boleh dikatakan setiap sambutan yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dengan perempuan keesokkan pasti terpapar di dada media isu tersebut. Semakin lama semakin menjadi-jadi dan apa yang menjadi kerisauan saya yang ingin dikongsikan kepada sahabat sekalian bimbang jika yang terlibat itu insan yang mempunyai hubungan keluarga atau yang menjadi sahabat atapun kenalan kita yang terlibat dalam hal diatas. Semoga Allah memelihara kita semua dan insan disekeliling kita.


Persoalan yang sentiasa bermain difikiran saya apabila melihat kes ini dan seumpamanya :


Perlukah kita melakukan hubungan secara haram setiap kali ada pesta ?

Adakah dengan melakukan hubungan secara haram menunjukkan kasih dan taat setia pada pasangan?

Sukakah kita apabila melihat hal-hal ini sentiasa berlaku dalam masyarakat kita saban hari ?

Terlalu murahkan maruah kita untuk digadaikan kepada seseorang yang tidak memikul dosa kita ?

dan pelbagai persoalan yang mungkin akan timbul pada masa akan datang.



Dalam Al-Quran, Allah telah memberikan peringatan kepada kita semua, baik lelaki mahupun perempuan dalam suran An-Nur ayat 30 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."


Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."


Sama-sama kita muhasabah dan mengambil iktibar dalam hal ini. 

Semoga Allah memelihara kita dan bersama-sama menangani hal ini agar dapat melahirkan generasi yang lebih bermaruah dan memelihara diri daripada perbuatan yang mengundang musibah.


Muslim Sejati Pencetus Ummah 

Wednesday, 30 October 2013

"Teamwork", bukan bermakna kemahiran mesti sama



        Alhamdulillah, bersyukur terhadrat Illahi kerana dengan limpah kurnianya masih lagi kita diberikan peluang untuk bernafas di muka bumi yang sangat indah dengan pelbagai ciptaanNya yang banyak mengandungi pelbagai hikmah serta menunjukkan luasnya ilmu dan kekuasaanNya dalam mencipta dan mentadbir dunia ini yang begitu indah dan sangat tersusun.  Mudah-mudahan Allah memasukkan kita dalam golongan yang diredhaiNya, InsyaAllah.

"Teamwork" atau kerja kumpulan semestinya tidak terasing lagi bagi sesiapa sahaja yang aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sama ada belajar berkumpulan, aktiviti sukan, usrah, dan pelbagai lagi aktiviti yang melibatkan kerjasama antara ahli sama ada fomal atau non-formal. Walauapapun, asalkan kita melaksanakan aktiviti secara berkumpulan kerana Islam sangat menggalakkan umatnya melakukan pekerjaan secara berjamaah.  

Dalam hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud " Daripada Ibn Abbas R.A., Nabi S.A.W. bersabda: " Pertolongan Allah bersama jemaah " ( Riyawat Al-Tirmizi).

"Teamwork" atau kerja berkumpulan adalah bertujuan untuk saling lengkap melengkapi sesama ahli dalam melaksanakan seseuatu pekerjaan kerana antara wujud kerja kumpulan atau " Teamwork" adalah kerana setiap orang mempunyai kemahiran yang berbeza apabila ingin melaksanakan sesuatu perkerjaan. Jika semua mempunyai kemahiran yang sama, atau kemampuan yang sama taraf, sesebuah kumpulan kerja akan kurang berkesan jika semua ahli mempunyai kemahiran yang sama dalam melaksanakan kerja.

Sebagai contoh, kerjasama kumpulan untuk membangunkan sebuah pondok rehat. Dalam kumpulan tersebut mestilah tidak semua tahu memilih bahan yang sesuai sahaja dalam membuat pondok rehat, pastinya ada yang berkemahiran menukang, mempunyai kemahiran mengecat dan memilih kualiti cat, kawasan yang sesuai dan pelbagai lagi. Jika semua ini saling lengkap melengkapi, pasti akan menghasilkan pondok rehat yang berkualiti.

Jika kita meninjau kembali semasa zaman Rasulullah S.A.W., baginda tidak spesifikan setiap sahabat supaya mempunyai kemahiran yang sama dalam berdakwah kerana Islam bukan agama yang menetapkan manusia mempunyai "skill" yang sama dalam mengamalkan Islam tetapi memandu manusia dengan "skill" yang masing-masing dengan cara yang diredhai Allah. Ada sahabat yang berdakwah dengan cara menyampaikan ilmu, ada sahabat menyampaikan dengan jalan jihad, ada yang menyampaikan dengan cara perniagaan, dan pelbagai lagi. Kesemua kemahiran ini digabungkan dalam konteks "Teamwork" menyampaikan dakwah Islam dan akhirnya Islam tersebar dengan pantas di pelusuk dunia.

Dalam konteks dakwah tidak semata-mata kita mesti menetapkan bahawa menyampaikan Islam dengan hanya memberi ceramah atau tazkirah semata-mata. Islam juga boleh disampaikan dengan pelbagai "skill" yang ada seperti keperibadian, pergaulan, hatta teknologi yang sedia ada boleh juga dijadikan sebagai medium dalam menyampaikan dakwah seperti membuat photoshop, blog, video, dan pelbagai lagi boleh digunakan mengikut kemahiran dan kesemua ini digabungkan dalam konteks "Teamwork" untuk menyebarkan risalah Islam.

Islam, bukan agama yang menetap setiap individu dengan kemahiran yang sama, tetapi memandu setiap individu yang mempunyai "skill"  tersendiri mengikut syarak dan menggabungkan kesemua ini menjadi "Teamwork" dalam menyebarkan dakwah sama ada secara langsung atau tidak langsung. 

Mukmin Sejati merebut Cinta Hakiki


Sunday, 29 September 2013

Indahnya ditutup



Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat Illah kerana dengan limpah kurna RahmatNya masih lagi dapat kita bernafas di muka bumi ini dengan nikmat yang dikurniakan olehNya yang tidak terhingga, mudah-mudahan kita termasuk dikalangan hambaNya yang sentiasa mendapat keampunan dan hidayah agar kita tetap berada dalam landasan yang sentiasa diredha olehNya, InsyaAllah.

Firman Allah dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."


Satu kisah yang ringkas namun sangat bermanfaat untuk kita semua sama-sama renungkan, kisah ini mengisahkan seorang Imam yang cukup terkenal dalam Imam-Iman Mazhab iaitu Imam Ahmad bin Hambal yang mana semasa beliau sedang mengangkat barangnya di pasar, ramai orang secara sukarela ingin membantu Imam Ahmad kerana kesian dan menghormatinya kerana dia adalah Imam yang sangat terkenal. Namun apa yang berlaku sebaliknya, Imam Ahmad menangis apabila ramai orang ingin menolongnya kerana dia terkenal. Orang ramai kehairanan lalu bertanya kepada Imam Ahmad, lalu Imam Ahmad menjawab jika orang tahu akan keaibannya, nescaya orang ramai akan mengambil pasir lalu meletakkan dikepalanya.


Maha Suci Allah,

Seorang Imam yang sangat warak lagi berilmu tidak sedikitpun merasakan gelaran yang diberikan oleh manusia merubah dirinya menjadi sombong namun sebaliknya semakin menjadikan dirinya semakin zuhud dan semakin merendah diri. Imam Ahmad seorang yang sangat sedikit keburukannya bahkan amat sukar mencari kesalahannya tetap berasa sangat malu apabila orang ramai memujinya kerana hanya Allah dan dia tahu akan dirinya sahaja.


Agak-agak kita kalau dipuji sedikit macam mana rasanya ?

Hebatnya kita bukan kerana kita hebat
Hebatnya kita kerana Allah menutup aib kita dihadapan manusia lain

Kerana diantara nikmat yang terbesar yang Allah kurniakan kepada hambaNya ialah nikmat manusia lain tidak mengetahui keaiban kita.

Bayangkan jika setiap orang kita jumpa mengetahui keaiban kita, sudah tentu kita menjadi tidak tentu hala.

Mana tidaknya, 

Kita hilang kepercayaan orang  terhadap diri kita,
Hati menjadi tidak tenteram
Dan pelbagai lagi kita rasa dan tidak selesa disebabkan semua orang tahu akan keburukan diri kita.

Semoga kita dipelihara dan dimasukan ke dalam hamba yang diredhaiNya

InsyaAllah

Mukmin sejati merebut cinta hakiki

Sunday, 25 August 2013

Hidayah Itu Pilihan






BismillahiRahmanniRahim

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat illahi dengan limpah rahmat dan kasih sayangnya, Ar-Rahman, dapat lagi kita bernafas di muka bumi Allah S..W.T. yang merupakan destinasi yang diberi pelbagai ujian bagi membuktikan sejauhmanakah seseorang hamba itu benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Mudah-Mudahan kita termasuk dalam kalangan hamba Allah yang Allah memberikan keampunan dan rahmatNya, InsyaAllah.

Hidayah, ialah satu makna didalam Islam yang membawa maksud cahaya yang memberi petunjuk kepada seseorang hamba daripada seseorang hamba itu daripada seorang yang jahat kepada yang baik, atau kepada yang baik kepada lebih baik lagi. Menjadi impian seseorang hamba yang sedar akan kesilapannya apabila ingat bertaubat mengharapkan hidayah daripada Allah agar dia terselamat daripada kemurkaan Allah S.W.T.

Sering kali biasa kita mendengar atau membaca beberapa kisah didalam Islam seseorang hamba yang bertaubat maka Allah mengampuninya lalu Allah memasukkan dia ke dalam syurga seperti kisah lelaki yang membunuh seratus orang dan apabila dia bertemu dengan seorang yang alim lalu orang alim tersebut menyarakan agar dia berpindah ke negeri lain dan dia meninggal dalam perjalanan. Apabila malaikat berselisih untuk memutuskan dia sama ada ingin memasukkan dia ke dalam syurga atau ke neraka, maka Allah memerintahkan agar diukur jarak tempat dia ingin berhijrah dengan tempat asalnya. Maha Suci Allah apabila ternyata tempat yang dia ingin berhijrah lebih dekat lalu dia dimasukkan ke dalam syurga.

Lihatlah, betapa luasnya kasih sayang Allah, hamba itu baru sahaja dalam usaha berhijrah sudah mendapat tempat di dalam syurga, mudah-mudahan kita juga yang sedang berusaha ini termasuk dalam kalangan tersebut.


Namun, persoalan atau biasa yang kita dengar

Adakah hidayah itu datang macam itu sahaja?

Hati saya belum lagi terbuka untuk menerima hidayah

Adakah Allah memilih hamba yang Dia rasa ingin memilih sahaja ?


Dan beberapa persoalan lagi yang sering kita lihat atau  mengalaminya.

Kita lihat analogi makanan

Apabila makanan sudah dihidangkan, 

Pertama sekali  apa yang diperlukan ialah rasa lapar

Yang kedua ialah mencari makanan

Ketiga,perlu ketahui dan memastikan apa yang dihidangkan itu ialah makanan yang boleh dimakan,

Keempat, sudah tentu kita akan merujuk kepada selera kita pula, adakah makanan itu menepati selera kita?

Kelima, kita memilih sama ada untuk makan atau menolak


Begitulah juga dengan Hidayah.

Hidayah tidak akan hadir dalam seseorang tanpa kesedaran

Hidayah tidak akan hadir jika kita tidak berusaha

Hidayah tidak akan dapat dikenali melainkan dengan ilmu

Hidayah tidak akan dapat diterima jika kita masih lagi memilih untuk mengikuti nafsu yang dipandu oleh syaitan.

Hidayah itu merupakan pilihan.


Kita lihat kisah diatas, apabila hamba Allah tersebut ingin bertaubat, sudah tentu dia tahu apa yang dia lakukan ialah suatu kesalahan. 

Yang kedua ialah wujud kesedaran ingin berubah, 

Yang ketiga ialah bermujahadah dengan mencari ilmu kerana dia ingin mengetahui  adakah dia masih boleh bertaubat dan dengan takdir Allah akhirnya dia bertemu dengan orang alim dan mengetahui bahawa Allah masih mengampuni hambanya walaupun sebesar mana dosanya, tetapi jika dia ingin bertaubat, maka Allah tetap mengampuninya.

Yang keempat ialah dia memilih untuk bertaubat dengan mengikut saranan orang alim tersebut.


Allah tidak akan menzalimi hambaNya melainkan hambaNya menzalimi diri sendiri. Hidayah itu pilihan kita, Allah sentiasa mengampuni hambaNya yang ikhlas bertaubat dan berusaha untuk bertaubat.

Mukmin Sejati Mencari Cinta Hakiki


Tuesday, 30 July 2013

Impak Lailatulqadar



BismillahIRahmanniRahim,

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi,

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah,

Bersyukur terhadrat Allah kerana telah diberikan kesempatan untuk hidup didalam bulan yang mulia ini dan hidup sebagai seorang muslim yang mana telah menjadi impian setiap muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul untuk bertemu dengan bulan yang mulia ini, iaitu Bulan Ramadhan Al-Mubarak yang mana bulan ini pelbagai peristiwa yang sepatutnya semua peristiwa tersebut kita mengambil tahu seperti peristiwa Perang Badar dan malam lailiatuqadar.

Telah menjadi impian umat Islam dimuka bumi Allah ini untuk bertemu dengan malam yang sangat mulia yang disebut sebagai malam Lailatulqadar atau nama yang lebih tepat malam Al-Qadar kerana maksud "Laila" ialah malam tetapi menjadi kebiasaan masyarakat kita menyebut malam Lailatulqadar, tak mengapa, kita raikan.

Diantara peristiwa penting Lailatulqadar ialah penurunan Al-Quran daripada Luh Al-Mahfuz ke Bait Al-Izzah(langit dunia) dan kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W. selama 23 tahun secara berperingkat-peringkat.

Juga, apabila tiba sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, kita sangat dituntut membuat ibadat sekuat dan semampu yang boleh kerana ganjaran pada Lailatuqadar adalah sangat besar dan ianya juga keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada umat Rasullullah S.A.W.

Namun, adakah kita pernah berfikir bahawa kenapa kita digalakkan beribadat dengan bersungguh-sungguh pada Lailatuqadar yang adanya berlaku penurunan Al-Quran yang mana ia merupakan satu mukjzat yang sangat agung kepada umat Islam pada akhir zaman. Pernahkan terlintas difikiran kita apakah intipati yang ingin disampaikan oleh Lailatulqadar, walaupun pada hakikatnya Allah sahaja yang mengetahui, namun kita juga sangat dituntut untuk berfikir setiap apa yang berlaku terutama dalam hal-hal seperti ini.

Apabila tiba sepuluh malam terakhir, sepatutnya dengan momentum ibadat yang kita lakukan pada sepuluh malam terakhir ini, sepatutnya mampu menjadikan kita semakin mendekati kepada Allah, tetapi jika tiada hasilnya walha kita hampir sama sahaja pada bulan-bulan lain, bermakna kita hanya sekadar beribadat letih dibadan tetapi intipatinya diabaikan.

Lailatulqadar bukan sekadar malam yang penting untuk kita meningkatkan ibadat semata-mata, namun intipatinya dan hikmahnya juga jangan lupa dicari kerana Islam bukan hanya agama ritual semata-mata, malah ianya agama yang mengajak umatnya berfikir dan mencari hikmah yang tersembunyi kerana dengan itu kita akan melakukan ibadat yang memberi impak yang positif pada jiwa kita, bukan sekadar ibadat yang menjadi adat semata-mata. Wallahua'lam.

Mukmin sejati mencari cinta hakiki.




Saturday, 29 June 2013

Ramadhan, mengasah ketaqwaan muslim.

BismillahhiRahmaniRahim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Menyayangi

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Bersyukur terhadrat Illah dengan izinNya mampu bernafas di muka bumi ini yang mana ianya merupakan satu persinggahan buat semua manusia yang mana ia merupakan satu ujian bagi setiap insan yang wajib dilalui setelah dia melepasi alam rahim dan lahirnya ke dunia ini akan menerima ujian daripada penciptaNya untuk melihat dan menilai sama ada hambaNya ini di kemuncaknya akan berada di syurga ataupun di neraka dan mudah-mudahan Allah selamatkan kita dan memasukkan kita semua ke dalam syurgaNya yang penuh Rahmat dan Nikmat yang tidak ada tolak bandingannya lagi, Insya-Allah.

Sedang kita semua sibuk dengan urusan harian kita, tidak kira yang bekerja, atapun belajar ataupun kedua-duanya sama ada sedar atau tidak kita telah hampir dikunjungi oleh satu tetamu yang istimewa yang mana semua kaum muslimin sangat gembira bahkan ianya juga merupakan tetamu yang sangat dibenci oleh syaitan dan para pengikutnya iaitu ramadhan.

Ramadhan ialah satu bulan yang sangat istimewa kerana dalam bulan tersebut terdapat satu malam yang dipanggil malam lailatul Qadar yang mana ia merupakan satu malam yang semua kaum muslimin mencari-cari bahkan ada yang bermati-matian beribadat sepanjang bulan ramadhan kerana ingin bertemu malam istimewa ini yang hanya Allah pilih sahaja hambanya yang layak bertemu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui bila waktu dan malam akan beralaku malam lailatu Qadar.

Apabila tibanya bulan Ramadhan, Insya-Allah, ramai diantara kita yang sedia maklum bahkan sudah masak diingatan kita banyak kelebihan-kelebihan bulan ramadhan sehinggakan budak kecil pun tidak sabar menunggu bulan ramadhan, bulan mulia ini dan diantara selain malam lailatul Qadar, ganjaran pahala juga dilipat gandakan oleh Allah kepada hambanya kerana bulan ini juga menguji sejauh manakah mereka merasakan Allah Maha Melihat akan segala perbuatan mereka.

Antara sebab bulan ialah bulan yang mana Allah melipat gandakan ganjaran pahala ialah diantaranya ialah sejaumanakan rasa diri kita sentiasa Allah perhatikan. Kita mungkin ambil kisah dan ada rasa malu kerana bulan ini secara umumnya muslim akan menahan makan dan minum bermula waktu fajar sehingga masuknya waktu maghrib dan sebanyakkan bab menahan makan dan minum ini ramai yang ambil kisah sehinggakan ada kalangan kita sanggup check bilik sahabat kita adakah dia berpuasa atau tidak.

Namun ada sesuatu yang biasa kita tidak ambil kisah apabila tiba ramadhan bahkan kita kelihatan sama sahaja sebelum, semasa, dan selepas ramadhan dan mungkin kalau rajin sikit amalkan puasa sunat, Alhamdulillah. Tetapi yang mesti kita ambil berat apa yang Allah ingin mengajar kepada kita ialah sifat Taqwa sepanjang Ramadhan ini.

Kita semua kebanyakkan biasa dengar perbualan Saidina Umar Al-Khattab R.A. dengan Abu Hurairah R.A. akan pertanyaan Saidina Umar Al-Khattab berkenaan makna Taqwa dan Abu Hurairah R.A. memberi perumpamaan bahaya taqwa itu diibaratkan kita sedang berjalan pada satu jalan yang penuh duri apa akan kita lakukan dan Saidina Umar menjawab sudah tentu kita akan berhati-hati semasa berjalan, dan Abu Hurairah menjawab itulah taqwa. Taqwa dengan kata lain ialah kita sentiasa berhati-hati dalam perbuatan kita bukan kerana jumud tetapi ingin memastikan kita melakukan seiring dengan syariat Islam.

Banyak perbuatan kita yang kita jaga semasa ramadhan tetapi ada juga yang terlepas pandang. Sebagai contoh semasa ramdhan kita biasa jaga mulut kita daripada menyuapkan sesuatu yang membatalkan puasa, namun kita lupa kita setiap hari menyuap mulut kita dengan makan darah daging saudara kita sendiri iaitu mengumpat dan menfitnah.

Kita juga menahan tangan kita daripada mengambil makanan untuk makan namun tidak lupa untuk melatih  tangan kita daripada membazir dibulan mulia ini dan seterusnya.

Kita menahan mata kita daripada melihat aurat ajnabi namun kita lupa untuk melatih mata kita supaya menundukkan pandangan. Satu makna yang berbeza, menahan tidak mampu menahan selama-lamanya namun menunduk bererti kita mengawal dengan hati yang penuh rasa malu kerana hati ini diresapi Iman dan Taqwa. Bak kata orang dari mata turun ke hati. Apabila mata dilatih dengan Iman dan Taqwa, maka yang akan sampai ke hati ialah Iman dan Taqwa, InsyaAllah.

 Dan pelbagai lagi yang biasa kita dengar tetapi kita tidak ambil berat.

Ramai mampu melatih untuk lapar tetapi ramai yang tidak melatih diri untuk merasakan kewujudan Allah yang Maha Agung sedang melihat segala perbuatan hambaNya. Iman dan Taqwa perlu menjalani latihan, kadang-kala ianya memerlukan sedikit pengorbanan kerana nilainya sangat mahal dan apabila seseorang itu merasakan nikmat kehadirannya, nyawa sekali pun sanggup dikorbankan.

Sebaik-baik pakaian seseorang muslim itu ialah taqwa iaitu sentiasa berhati-hati dalam semua aspek , pakaian, percakapan, fikiran, dan lain-lain lagi yang mencorak keperibadian seseorang muslim yang indah.

Mudah-mudahan, kita lalui bulan mulia ini sebagai latihan kita untuk meningkatkan ketaqwaan selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah agar kita menjadi hamba yang bertaqwa dan tergolong dalam golongan yang mendapat rahmatNya, InsyaAllah.

Mukim sejati merebut cinta Hakiki.