Sunday, 24 April 2011

Menutup...




Bismillahirahmannirahim,

Disini ada sedikit perkongsian sebagai peringatan buat kita semua yang saya dapat daripada Rakan Surau yang berada dibawah bimbingan Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah(LPS) Kolej Harun AminurRasyid,Universiti Pendidikan Sultan Idris,semoga memberi manfaat dan peringatan buat kita semua.

Pada 13 April 2011 ( Sabtu ), bersempena dengan Majlis Jamuan Perpisahan Rakan Surau Ar-Rashidin bagi sesi 2010-2011, Ahli Jawatankuasa Kelab   Rakan Surau di bawah bimbingan Biro Latihan&Pembangunan Sahsiah(LPS), KHAR telah mengadakan Majlis Perasmian PelancaranKempen “Ke Arah Sahsiah Unggul”. Kempen tersebut telah dirasmikan oleh En.Ghazali Bin Din selaku wakil pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Kempen “Ke Arah Sahsiah Unggul” telah menghasilkan 9 banting dan akan diletakkan di sekitar kolej.
Kempen tersebut dilancarkan  atas kesedaran bahawa betapa pentingnya sebagai seorang pendidik membentuk nilai sahsiah yang unggul dalam diri. Kempen “Ke Arah Sahsiah Unggul” ini bertunjangkan objektif   program iaitu melahirkan bakal pendidik yang mempunyai sahsiah dan moral yang tinggi serta dapat mempersiapkan diri selaku pendidik. . Justeru, sebagai bakal pendidik seharusnya melengkapkan semaksimum mungkin nilai-nilai murni dan sahsiah yang tinggi sebagai ikutan para pelajar . Insya-Allah.       

Contohi akhlak mulia,
Dari nabi junjungan,
Walau dicaci dihina,
Ditempuh dengan iman.

Akhlak Nabi Muhammad s.a.w adalah sahsiah terbaik untuk diteladani dan dicontohi. Terlalu banyak peristiwa-peristiwa yang menonjolkan tingkah laku dan sahsiah Rasulullah yang mulia seperti dalam konteks penghijrahan Rasulullah dalam menyebarkan Islam sehingga Islam bertapak hampir 2/3 dunia.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Ajaran Islam telah menuntut kita sebagai umat Islam berpakaian menutup aurat.  Aurat (Arab: عورة) merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap Muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.Antaranya:

Dalil Al Quran:
  “  Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah Al-A’raaf : Ayat 26)”

Dalil Hadis:
                  “ Aisyah meriwayatkan, bahawa saudaranya iaitu Asma' binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Rasulullah S.A.W dengan berpakaian jarang sehingga nampak kulitnya. Kemudian beliau berpaling dan mengatakan: "Hai Asma'! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini - sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya." (Hadis Riwayat Abu Daud)”.

Bersandarkan dalil-dalil daripada Al Quran dan Hadis, aurat lelaki dan aurat perempuan adalah seperti berikut:-

Lelaki
Di dalam mazhab Ahlul Sunnah Wal Jamaah, aurat lelaki ialah diantara pusat dengan lutut, ini termasuk lelaki dan juga perempuan. Ini bermaksud mereka seharusnya menutup alat kemaluan dan bahagian diantara pusat dan lutut setiap masa kecuali atas dasar privasi. Mereka juga wajib memakai pakaian yang longgar dan tidak telus bagi mengelakkan warna kulit dan juga bentuk badan dilihat oleh golongan bukan ajnabi.

Wanita
Aurat wanita sangat komplikated dan berubah mengikut situasi:
• Dihadapan mahram(saudara lelaki rapat), seseorang wanita itu wajib menutup seluruh badannya kecuali muka  dan tangan.
• Dihadapan sesama wanita muslim, aurat perempuan ialah diantara pusat hingga lutut. ( Tapi perlu saling menghormati pandangan dengan memakai pakaian yang sopan dan tidak mededahkan tubuh badan.)
• Aurat dihadapan sesama wanita bukan Islam menjadi perdebatan. Sesetengah ilmuwan menyatakan wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Sementara, sesetengah ilmuwan lain berpendapat aurat perempuan muslim kepada bukan wanita bukan Islam ialah sama ketika mana mereka berada dengan sesama wanita Islam.
• Aurat dihadapan lelaki yang tiada pertalian tidak kira Islam mahupun bukan Islam adalah menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Tetapi terdapat ilmuwan berpendapat, muka adalah aurat. Isu ini berlarutan termasuk yang sudah berlalu dan sedang berlaku, adakah ia hanya keafdalan atau hukum.
• Aurat ketika solat ialah wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Di sini telah dinyatakan serba sedikit mengenai batasan aurat iaitu yang mana wajib ditutup dan tidak wajib ditutup mengikut situasinya. Oleh itu, kami menyeru sahabat-sahabat yang beragama Islam dan mengaku beragama Islam agar menjaga aurat dan berpakaian mengikut syariat Islam. Perbuatan berpakaian dengan pakaian ketat, tidak berlengan dan tidak memakai tudung (perempuan), berpakaian atau berseluar tidak menutup paras lutut (lelaki) ketika keluar daripada rumah sama sekali dilarang oleh agama Islam kerana bertentangan dengan syariat Islam. Kami tidak dapat menghukum dosa-dosa anda namun Allah berhak menghukum. Selagi pintu taubat masih terbuka bersegeralah menggapainya.

marilah sahabat-sahabat, kita sama-sama berdoa....
" Ya ALLAH, ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami, ampunilah kejahilan, kemungkaran,serta dosa-dosa kami, ya Allah,.ampunilah dosa kelalaian kami dalam menjalankan kewajipan kami sebagai hambaMu..jadikanlah kami ya Allah, hamba2Mu yang bertaqwa, beriman serta sentiasa mensyukuri nikmat2Mu..jadikanlah kami muslimin dan muslimat yang soleh solehah, anak-anak yang soleh solehah serta pelajar-pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat..ya ALLAH, terimalah taubat kami...pimpinlah kami ke jalan yang Engkau redhai..setiap kali kami menyebut namaMu yang suci lagi mulia, masukkanlah nur Iman ke dalam hati kami, agar kami sentisa khusyuk dan tunduk pada perintahMu..amin,amin ,ya Rabbal A'lamin.."

Salam Pembentukan Diri Ke Arah Sahsiah Unggul
KELAB RAKAN SURAU AR-RASHIDIN, BIRO LATIHAN &PEMBANGUNAN SAHSIAH(LPS),
KOLEJ HARUN AMINURRASHID...Universiti Pendidikan Sultan Idris


1 comment: